Nur Aufa (tengah) bersama ibu bapanya, Nooraini Ismail, 60, dan Johan Mansor, 66, di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA pada Ahad.
Nur Aufa (tengah) bersama ibu bapanya, Nooraini Ismail, 60, dan Johan Mansor, 66, di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA pada Ahad.

Nur Aufa raih Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA biarpun menghidap penyakit jantung

06 Nov 2023 06:14pm
A
A
A

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nur Aufa Johan, 24, tidak menjadikan penyakit jantung sebagai halangan untuk beliau meraih kecemerlangan.

Sebaliknya, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu menganggap dugaan tersebut sebagai motivasi untuk menggapai cita-cita.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia diserang penyakit jantung bengkak dan hipertiroidisme ketika berusia 15 tahun.

Sejak itu dia terpaksa ulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang didudukinya tidak berapa memuaskan.

“Waktu itu memang sedih kerana hasrat saya ingin menghadiahkan keputusan cemerlang buat ibu bapa seperti abang dan kakak yang lain tidak kesampaian.

“Walaupun ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa balasan, saya tetap berazam untuk berusaha lebih gigih dan menghadiahkan kejayaan untuk mereka suatu hari nanti,” katanya pada Ahad.

Nur Aufa akhirnya berjaya melunaskan azam itu apabila dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan selepas mencatat nilai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (CGPA) 3.91 sekali gus menerima hadiah berupa trofi dan wang tunai RM7,500.

Hadiah disampaikan oleh Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA.

Artikel Berkaitan:

Gadis itu yang kini bekerja sebagai pegawai strategik di bahagian Komunikasi Korporat Petronas di ibu negara merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana.

Walaupun menyedari tekanan dan kesulitan yang bakal dihadapi, dia tetap menggenggam harapan untuk bergelar doktor falsafah.

“Insya-ALLAH dengan iltizam dan sokongan ibu bapa, saya pasti dapat mencapai semua yang dicita-citakan suatu hari nanti,” katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok