Guru Bahasa Inggeris KV Keningau raih anugerah YSEALI
Sentiasa komited menyumbang kepakaran menerusi bidang pendidikan sehingga ke negara luar khususnya di peringkat Asia Tenggara, mengangkat guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Dr Sirhajwan Idek sebagai penerima anugerah Young Southeast Asia Leaders Initiative (YSEALI) Malaysia Alumni Awards bagi Kategori Pendidikan.
Sirhajwan telah merintis program pertukaran pelajar dan guru dalam talian bersama beberapa sekolah di Asia Tenggara pada tahun 2022, selain mempelopori kelas induk maya yang dikendalikan guru-guru ternama dari negara di Asia Timur, Afrika, Eropah, Amerika Selatan, Amerika Utara dan Oceania.
“Saya amat bersyukur dan berbangga di atas anugerah berprestij ini dan ia membuktikan bahawa setiap usaha pasti ada hasil lumayan.
“Dengan penerimaan anugerah ini, saya akan jadikannya sebagai motivasi baru untuk lebih bergiat aktif dengan aktiviti belia termasuklah program di bawah YSEALI,” ujarnya.
Tidak hanya itu, memegang tugas sebagai ketua kajian dan inovasi di kolejnya antara dorongan Sirhajwan berjaya membimbing hampir 600 pelajar dalam membangunkan dan membentang projek inovasi mereka di persidangan penyelidikan atau pertandingan inovasi.
Beberapa pasukan pelajar yang dibimbingnya juga memenangi geran dengan jumlah maksimum RM20,000.
Lebih membanggakan apabila dua orang anak didiknya berjaya menjadi finalis Global Student Prize pada tahun 2022 dan 2023, iaitu anugerah paling berprestij untuk pelajar, selain ditawatkan hadiah berjumlah AS$100,000 (RM465,950) kepada seorang pemenang setiap tahun.
Untuk rekod, YSEALI Malaysia Festival 2023 merupakan program tajaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) melalui lima kategori iaitu pendidikan, alam sekitar, pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan sosial, penglibatan sivik dan ikon Malaysia YSEALI.
Di samping itu, Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Akup menyatakan rasa bangga dengan pencapaian Sirhajwan yang membuktikan kemampuan guru sebagai pencetus perubahan positif dalam bidang pendidikan.