
'Pak Lang cuba kuat & tahan sebak. Tapi Pak Lang reda kerana ini satu pemergian dicemburui' - Coretan pilu bapa saudara pelajar UiTM
"Walaupun bukan selalu kita bersama, tiap kali jumpa, terasa seperti selalu. Bukan sebab Pak Lang ni kelakar, tapi sebab Aqil yang terlalu baik, terlalu mesra. Tak banyak cakap, tapi cukup manis perangai.
"Layananmu pada Pak Lang, penuh hormat, ringan tulang, cepat membantu bila diminta. Pak Lang minta tolong apa pun, tak pernah berkira. Senyum tak pernah lekang.”
Begitulah catatan duka Pak Lang atau Firdaus Razak tentang pemergian anak saudara yang disayangi, Muhammad Aqil Mohd Nazrul Hisham, 21, pada Isnin.
Muhammad Aqil yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Seni Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 332.1 susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.27 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke kampusnya di Seri Iskandar, Perak.
Kata Johari, siasatan awal mendapati motosikal jenis Keeway Cafe yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di lokasi kejadian.
"Muhammad Aqil disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan kaki oleh Penolong Pegawai Perubatan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kongsi Firdaus di Facebook, arwah seorang anak yang berbudi pekerti tinggi. Ramai yang menyebut betapa baik dan ramahnya Aqil. Sopan, lembut tutur kata dan disenangi. Dan hari ini, ALLAH lebih menyayanginya.
"Aqil pergi dalam keadaan yang sangat tenang…ketika bermusafir menuju kampus untuk menuntut ilmu.
"Dalam usia muda, dengan dosa yang ringan, hati yang bersih. Asbab kemalangan, namun ALLAH yang menjemputnya kembali dalam waktu dan cara yang sangat indah. Mudah, husnul khatimah dan dikelilingi doa orang-orang yang menyayanginya.
"Solat jenazahnya dihadiri ramai. Semua hadir dengan linangan air mata, dengan cerita-cerita indah mengenainya," kongsinya.
Sambung Pak Lang lagi, dirinya cuba kuat untuk menerima berita mengejutkan itu.
Dalam masa sama, dia cuba tahan sebak dan reda kerana tahu, pemergian anak saudaranya itu satu kematian yang dicemburui.
"Arwah pergi dalam perjalanan menuntut ilmu dan Rasulullah SAW pernah menyebut, jalan ilmu itu jalan menuju syurga.
"Semoga Aqil benar-benar mendapat syurga itu. Pak Lang belum puas menyakat. Belum puas bergelak ketawa dengan Aqil. Tapi ALLAH lebih tahu. Damailah Aqil di sana. Pak Lang rindu,” kongsinya lagi.
Dalam catatan akhir penuh emosi yang dikongsikan di platform itu, Pak Lang menzahirkan rasa kasih, rindu dan harapan agar roh arwah dicucuri rahmat.
"Semoga ALLAH menempatkan Aqil dalam kalangan orang-orang beriman. 15 syuhada mahasiswa dan siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga menanti Aqil. Semoga kita bertemu lagi di syurga nanti.
"Salam takziah kepada abangku, Mohd Nazrul Hisham dan Kak Long, Norhaida Mustaffa atas pemergian anak syurga mereka. Aku yakin mereka kuat, sekuat menghadapi liku-liku kehidupan membesarkan lima orang anak kesayangan mereka,” tulisnya lagi.