Lt M Muhammad Afiq (kiri) menerima pedang kehormat dari Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Lt M Muhammad Afiq (kiri) menerima pedang kehormat dari Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

PALAPES uji ketahanan mental fizikal

Leftenan Muda Muhammad Afiq impi menjadi anggota tentera berkaliber

ROSHLAWATY MD RAIEH
16 Oct 2023 01:38pm
A
A
A

Menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sememangnya menjadi impian Muhammad Afiq Adnan.

Ia kerana PALAPES USIM menyediakan pelbagai latihan yang meliputi subjek-subjek berkaitan ketenteraan dan mempunyai cabaran tersendiri sepanjang menjalani aktiviti ditetapkan.

Malah kata anak muda berusia 23 tahun ini, kekemasan pakaian dan keterampilan seseorang anggota PALAPES antara faktor dirinya menyertai unit beruniform tersebut.

Muhammad Afiq yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran Dengan Multimedia, USIM berkata, PALAPES telah memberi satu pengalaman hidup yang cukup bermakna kepadanya.

Lt M Muhammad Afiq
Lt M Muhammad Afiq

"Pengalaman pahit dan manis, semuanya ada di PALAPES USIM. Saya masih ingat lagi, ketika menyertai pertandingan kawad kaki, banyak cabaran yang perlu dilalui.

"Salah satunya ketika memastikan semua anggota dapat melakukan kawad kaki dengan baik supaya kesalahan tidak diulang-ulang. Memang agak sukar pada mulanya, tapi dengan kerjasama semua anggota, kawad kaki berjalan lancar,•”• katanya yang kini menggalas jawatan Pegawai Muda dalam PALAPES USIM.

Muhammad Afiq yang kini Leftenan Muda (Lt M) di unit beruniform itu berkata, cabaran paling berat sepanjang mengikuti PALAPES adalah berkawad dalam cuaca panas dan terik.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, cuaca sedemikian menguji daya fizikal dan kekuatan mental setiap anggota.

"Sebab itu, setiap anggota perlu kuat dalam segenap perkara dan memastikan diri berupaya mengharungi segala cabaran dalam PALAPES.

"Selain itu, anggota PALAPES juga perlu menjaga waktu makan dan rehat sebelum menjalani latihan kawad kaki. Ia bertujuan mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku," kata anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.

Detachment 10 yang diketuai Lt M Muhammad Afiq sempena Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Universiti Awam ke-41 baru-baru ini.
Detachment 10 yang diketuai Lt M Muhammad Afiq sempena Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Universiti Awam ke-41 baru-baru ini.

Biarpun penyertaan dalam pasukan tersebut banyak menguji kemampuan fizikal dan mental, namun Muhammad Afiq tetap berjaya mengharungi segala-galanya dan apa yang paling mengujakan, anak muda ini berjaya merangkul pelbagai anugerah sepanjang penglibatan dalam PALAPES USIM.

"Setakat ini, saya telah menerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik PALAPES USIM semasa Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-41 dan di anugerahkan pedang kehormat oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang telah mencemar duli mewakili Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

"Selain itu, saya juga pernah mendapat Anugerah Ketrampilan Terbaik ketika latihan dalam pasukan," ujar anak pasangan Adnan Arshad dan Faridah Osman.

Lt M Muhammad Afiq meraih pelbagai anugerah dan pencapaian sepanjang menyertai PALAPES USIM.
Lt M Muhammad Afiq meraih pelbagai anugerah dan pencapaian sepanjang menyertai PALAPES USIM.

Ditanya mengenai cara mengikuti kawad kaki di institut pengajian tinggi (IPT), Lt M Muhammad Afiq berkata, langkah pertama yang harus dilakukan penuntut adalah menyertai mana-mana badan uniform di kampus masing-masing.

"Setiap IPT pasti ada badan uniform, misalnya PALAPES, Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) dan banyak lagi.

"Mereka (penuntut) hanya perlu mendaftarkan diri di unit uniform tersebut sekali gus akan menjalani latihan kawad bersama anggota lain kerana setiap uniform pasti berkawad mengikut pentadbiran masing-masing.

"Paling penting di sini adalah minat yang tinggi dalam unit tersebut dan bijak membahagikan masa antara pengajian dan latihan," akhirinya kepada Sinar Bestari.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok