
Pameran Taiping Bandar Warisan beri peluang pelajar dalami sejarah tempatan secara santai & interaktif
Usaha mendekatkan generasi muda dengan sejarah tempatan terus diperkasa apabila Unit Perpustakaan dan Unit Pengajian Am Kolej Komuniti Taiping, Perak menganjurkan Pameran Taiping Bandar Warisan sebagai platform pembelajaran alternatif yang bermakna dan berimpak.
Pameran yang mendapat kerjasama strategik Muzium Perak itu berlangsung di Pusat Sumber Kolej Komuniti Taiping pada Khamis, sekali gus memberi peluang kepada pelajar serta warga kolej untuk mengenali sejarah bandar Taiping dengan pendekatan yang lebih mudah, santai dan interaktif.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Taiping, Aznur Anuar Ab Azid, penganjuran program seumpama ini mampu memberi nilai tambah kepada pembelajaran pelajar dengan menggabungkan elemen ilmu, sejarah dan kesedaran sosial.
"Program ini sejajar dengan peranan kolej dalam melahirkan masyarakat berkemahiran yang bukan sahaja berilmu, malah berbudaya serta mempunyai jati diri yang kukuh.

"Kerjasama strategik antara Muzium Perak dan Kolej Komuniti Taiping turut membuktikan sinergi positif antara institusi pendidikan dan institusi warisan dalam menyampaikan ilmu sejarah secara lebih berkesan, berinteraktif dan berimpak tinggi," katanya.
Untuk rekod, Pameran Taiping Bandar Warisan yang berkonsepkan ‘Muzium Datang Kepada Anda’ itu bertujuan membawa pengalaman muzium terus ke kampus, sekali gus memudahkan akses pelajar terhadap maklumat sejarah tanpa perlu meninggalkan kawasan kolej.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang pameran berlangsung, antaranya panel pameran berkaitan sejarah awal bandar Taiping, aktiviti kuiz interaktif serta permainan tradisional seperti capteh, tuju tin dan batu seremban.
Selain itu, pameran turut menampilkan koleksi artifak bersejarah yang memberi gambaran lebih jelas tentang kehidupan dan perkembangan awal bandar Taiping, sekali gus membantu pelajar memahami sejarah melalui pengalaman sebenar.
Ringkasan AI
- Usaha mendekatkan generasi muda dengan sejarah tempatan diperkasa melalui Pameran Taiping Bandar Warisan anjuran Unit Perpustakaan dan Unit Pengajian Am Kolej Komuniti Taiping dengan kerjasama Muzium Perak
- Pameran bertujuan sebagai platform pembelajaran alternatif yang bermakna dan berimpak bagi memudahkan pelajar mengenali sejarah Taiping secara santai dan interaktif
- Menurut Pengarah Kolej Komuniti Taiping, program ini bertujuan memberi nilai tambah pembelajaran melalui penggabungan elemen ilmu, sejarah dan kesedaran sosial
- Kerjasama strategik dengan Muzium Perak menunjukkan sinergi antara institusi pendidikan dan institusi warisan untuk menyampaikan ilmu sejarah secara berkesan dan berimpak tinggi
- Pameran menyediakan aktiviti interaktif, menampilkan koleksi artifak bersejarah, dan bertujuan membawa pengalaman muzium ke kampus bagi memudahkan akses maklumat sejarah
