Nurul Allyssa (kanan) muncul sebagai penerima Anugerah Khas Menteri (Graduan Terbaik Keseluruhan) dalam Majlis Konvokesyen IKB ke-31. Foto: Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
Nurul Allyssa (kanan) muncul sebagai penerima Anugerah Khas Menteri (Graduan Terbaik Keseluruhan) dalam Majlis Konvokesyen IKB ke-31. Foto: Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

Walaupun sering sakit, Nurul Allyssa tetap rangkul Anugerah Khas Menteri!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
22 Aug 2025 12:53pm

Setiap kejayaan hadir bersama pengorbanan dan cabaran. Itu yang dibuktikan graduan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) apabila dinobatkan penerima anugerah tertinggi pada Majlis Konvokesyen IKB ke-31 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

Nurul Allyssa Saadon, 25, muncul sebagai penerima Anugerah Khas Menteri (Graduan Terbaik Keseluruhan) meskipun pernah berdepan masalah kesihatan sehingga hampir sebulan tidak dapat menghadiri kelas.

Graduan Sijil Seni Reka Bentuk Grafik Komputer (SGK) itu mengakui kejayaannya tidak akan tercapai tanpa sokongan keluarga dan tenaga pengajar yang setia memberi dorongan.

"Saya sendiri tidak menyangka akan menerima anugerah ini. Walaupun sering sakit dan ketinggalan pelajaran hampir sebulan, namun berkat semangat yang diberikan oleh pensyarah serta doa keluarga, saya mampu bangkit semula dan menyiapkan semua tugasan dengan baik," katanya.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu turut berkongsi hasrat untuk menceburi bidang keusahawanan dengan membuka perniagaan sendiri suatu hari nanti.

Baginya, peluang belajar di IKB sangat bermakna kerana selain ilmu, pelajar daripada keluarga B40 sepertinya turut mendapat pelbagai bantuan termasuk makanan percuma dan elaun bulanan yang meringankan beban.

Foto: Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
Foto: Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nur Athirah Nadhilah Abdul Rahman, 21, pula diumum sebagai penerima Anugerah Cemerlang Kemahiran dalam majlis sama.

Lebih istimewa, kejayaan itu diraikan bersama ibu bapanya, meskipun bapa sudah lebih 10 tahun menghidap penyakit strok.

"Emak dan ayah adalah kekuatan saya. Walaupun kami hidup serba sederhana dengan hanya bergantung kepada wang pencen ayah di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kurang daripada RM1,000 sebulan, selain bantuan kakak, saya tidak pernah berputus asa.

"Syukur, segala pengorbanan akhirnya membuahkan hasil. Saya berharap dengan ilmu dan kelulusan yang ada, saya mampu bergelar pereka fesyen terkenal dalam dan luar negara serta memiliki butik dengan jenama sendiri sekali gus mengubah nasib keluarga," kata graduan Diploma Teknologi Reka Bentuk Fesyen yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Terdahulu, Majlis Konvokesyen IKB ke-31 yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, telah meraikan seramai 97 graduan.

Foto: Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
Foto: Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

Mereka terdiri daripada pelbagai jurusan melibatkan tujuh program kemahiran, satu program diploma serta enam program sijil yang ditawarkan di institut tersebut.

Lebih membanggakan, para graduan turut menerima pengiktirafan berprestij yang diiktiraf di peringkat nasional termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, Perakuan Kekompetenan Pendawai Tiga Fasa (PW4) serta Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Penganugerahan tersebut bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap usaha gigih graduan sepanjang tempoh pengajian, malah melambangkan keupayaan IKB dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.

Ia juga memberi nilai tambah kepada graduan untuk bersaing dalam pasaran kerja serta membuka ruang lebih luas bagi mereka menceburi bidang keusahawanan.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp