
Pasukan Debat Asasi UMK juara PeDAA 2025! Hebat betul mereka
Pasukan Debat Asasi UMK (UMK Ascent) melakar sejarah apabila buat pertama kalinya menjuarai Pertandingan Debat Inter Asasi (PeDAA) 2025 bagi kategori Bahasa Melayu yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Pasukan Debat Asasi UMK berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,500, piala iringan PeDAA 2025 dan sijil.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Dr Zamri Radzi kepada pemenang.
Pasukan Debat UMK yang mewakili kerajaan telah membawa usul bertajuk 'Penyalahgunaan Bahasa Dalam Iklan Melemahkan Aspirasi Menjadikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Serumpun Asean'.
Mereka dibarisi Nur Alya Masarah Abd Aziz, Nur Ieffah Imtiyaz Abdul Rahman, Muhammad Arief Fahimy Mohd Faizal dan Muhammad Nur Nasuha Mohd Nordin.

Menurut Pensyarah UMK-AsCent selaku Penyelaras Pasukan Debat Asasi UMK, Zulfikri Saidina Ali, kejayaan sulung itu membuktikan bahawa pendebat UMK dalam kalangan pelajar asasi mempunyai daya saing yang tinggi dan mampu berhujah secara kritis serta mempunyai pengetahuan tinggi mengenai isu-isu yang berlaku di dalam dan luar negara.
Beliau berkata, cabaran layak ke pusingan akhir cukup mencabar buat pasukan tersebut.
Ujarnya, pasukan UMK boleh dikira pasukan underdog namun melihat kepada kesungguhan pendebat yang berhujah di peringkat awal memberi saingan kepada pihak lawan.
"Pada peringkat suku akhir kita bertemu dengan pasukan yang berada di ranking kedua yang juga pasukan utama tuan rumah iaitu Universiti Malaya (UM) A.
"Namun, dengan semangat kental dan hujah mantap, pasukan UMK menang bergaya dengan menewaskan pasukan UM A dengan 3-0.
"Di peringkat suku akhir, sekali lagi kita bertemu pasukan tuan rumah UM B.
"Pada pusingan ini, UM B perlu menang dan mereka berharap untuk menewaskan UMK untuk layak ke pusingan akhir untuk menjaga nama selaku tuan rumah. Allhamdullilah, rezeki berjaya berpihak kepada pasukan UMK walaupun kita hanya menang tipis 3-2," katanya.
Sumber: Portal UMK