Nur Shazwanie (tengah) meraikan kegembiraan setelah muncul johan. Turut serta pengetua SMK Sultan Omar, Rohana Zahari (dua dari kanan) dan Zurina (kanan).
Nur Shazwanie (tengah) meraikan kegembiraan setelah muncul johan. Turut serta pengetua SMK Sultan Omar, Rohana Zahari (dua dari kanan) dan Zurina (kanan).

Nur Shazwanie diumum Johan Tokoh NILAM Kebangsaan 2025! Hebat anak Terengganu

Pelajar SMK Sultan Omar buktikan membaca bukan sekadar hobi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Jul 2025 11:05am

Majlis Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan 2025 menyaksikan pelajar Tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun, Terengganu, Nur Shazwanie Hasli dinobatkan sebagai Johan Tokoh NILAM Kebangsaan (Sekolah Menengah).

Menerusi kemenangan itu, dia membawa pulang piala pusingan, trofi, wang tunai RM1,000 sumbangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta wang tunai daripada Gempak Starz dan Geng Buku.

Dalam masa sama, Nur Shazwanie, 17, diumum sebagai Johan Bicara Buku Sekolah Menengah Bahasa Melayu pada majlis anjuran Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, KPM yang berlangsung di Vivatel Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengimbau detik kemenangan, Nur Shazwanie mengakui dirinya terkejut dan sebak.

"Waktu nama diumumkan, saya betul-betul tidak sangka. Dalam kalangan rakan-rakan hebat dari seluruh negara, saya yang terasa banyak kekurangan dipilih sebagai tokoh.

"Pelbagai wajah muncul dalam fikiran saya antaranya umi, ayah, guru-guru dan rakan yang menjadi tulang belakang kejayaan selama ini. Terima kasih semua," kongsinya kepada Sinar Bestari.

Bercerita tentang proses penilaian yang berlangsung selama lima hari, Nur Shazwanie menekankan bahawa amalan pembacaan adalah teras utama kejayaannya.

Artikel Berkaitan:

Nur Shazwanie diangkat sebagai Johan Tokoh NILAM Kebangsaan (Sekolah Menengah) dan Johan Bicara Buku Sekolah Menengah Bahasa Melayu dalam Majlis Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan 2025
Nur Shazwanie diangkat sebagai Johan Tokoh NILAM Kebangsaan (Sekolah Menengah) dan Johan Bicara Buku Sekolah Menengah Bahasa Melayu dalam Majlis Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan 2025

"Saya percaya melalui pembacaan, dapat menimba ilmu dan selepas itu menyebarkannya kepada orang lain. Proses dua hala tersebut penting, begitu juga aplikasi ilmu dalam kehidupan seharian," ujarnya.

Cabaran dan idola

Nur Shazwanie berkata, terdapat beberapa penilaian yang mencabar dirinya termasuk sesi bercerita, penulisan kreatif, penghasilan video dan temu bual bersama panel hakim.

"Paling saya ingat adalah sesi temu bual. Awalnya sangka ia yang paling sukar tetapi ternyata suasananya sangat mesra dan santai.

"Hakim-hakim sangat terbuka dan membuatkan saya lebih yakin untuk berkongsi pandangan," ujarnya yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah undang-undang dan juga berhasrat aktif dalam misi kemanusiaan.

Ditanya tentang idola, Nur Shazwanie berkata, setiap kejayaan, kebaikan dan nilai yang ada pada diri seseorang itulah yang diidolakan.

"Semangat juang setiap askar negara, keberanian ahli bomba, nurani seorang ibu atau keikhlasan seorang guru itulah yang menjadi idola saya.

Seorang lagi murid Terengganu iaitu Wan Nur Adelia Jannah Wan Muhd Ali (Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu)merangkul Naib Johan Pembaca Bestari Sekolah Rendah Bahasa Melayu dalam pertandingan sama.
Seorang lagi murid Terengganu iaitu Wan Nur Adelia Jannah Wan Muhd Ali (Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu)merangkul Naib Johan Pembaca Bestari Sekolah Rendah Bahasa Melayu dalam pertandingan sama.

"Saya percaya setiap orang ada nilai tersendiri, yang menjadi idola kepada saya adalah apa, siapa dan mengapa seseorang itu begitu bukan orang itu kerana kadang-kadang itu akan membawa kepada arah yang salah.

"Pun begitu, individu menjadi pendorong dan pembakar semangat saya yang paling utama ialah ayah, Hasli Husin. Zahirnya seorang pekerja kampung namun dialah ayah terhebat," jelasnya lagi.

Sementara itu, Guru Pembimbing, Zurina Jaffar, 42, berkata, kemenangan pelajarnya benar-benar menyentuh hati dan membuatkan beliau sebak.

"Saat nama Nur Shazwanie diumumkan, saya rasa sebak, bangga dan bersyukur.

"Daripada pembaca senyap, dia berkembang menjadi pemimpin literasi yang memberi inspirasi kepada rakan-rakannya. Kejayaan ini adalah bukti bahawa setiap usaha yang diiringi bimbingan mampu mencetus impak luar biasa," katanya.

Zurina yang juga Guru Perpustakaan dan Media (GPM) turut berharap kemenangan itu menjadi pemangkin untuk terus membudayakan amalan membaca dan mencintai ilmu dalam kalangan pelajar di seluruh negara.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp