Pelajar baharu MSU lafaz ikrar kecemerlangan
Seramai 2,400 pelajar baharu secara rasminya memulakan pengajian mereka di Management and Science University (MSU) bagi sesi pengajian 2023/2024.
Kesemua pelajar tersebut melafazkan ikrar akujanji menjaga nama baik universiti itu dalam Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu yang diadakan di Dewan Canselor, di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Kerjaya dan Pelajar MSU itu menyaksikan Faculty of Business Management & Professional Studies (FBMP) menduduki bilangan tertinggi pelajar iaitu seramai 631 orang dalam sesi pengajian kali ini.
Pada masa sama, ikrar akujanji itu turut dilafazkan oleh 283 pelajar antarabangsa antaranya dari China, Indonesia, Bahrain, Arab Saudi, Maldives, Brunei, Sri Lanka dan Seychelles.
Bacaan ikrar diketuai oleh Liu Wentian, pelajar program Bachelor in Traditional Chinese Medicine (Hons), School of Pharmacy dari China di hadapan Presiden MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid,
Hadir sama Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid serta para pengurusan kanan universiti.
Sementara itu, Dr Mohd Shukri ketika menyampaikan ucaptama menyatakan harapannya supaya para pelajar memanfaatkan pengalaman sebagai warga MSU atau “MSUrian” untuk menjadi graduan holistik, kompeten serta dilengkapi kemahiran insaniah.
“MSU turut berharap agar pelajar dapat memperkasakan minda secara menyeluruh merangkumi aspek kecemerlangan akademik, keusahawanan, kebudayaan merentasi komuniti, warga global melalui program mobiliti serta dorongan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di samping kemanusiaan sejagat.
“Penerapan minda yang dilengkapi faktor-faktor ini mampu melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi serta berdaya saing di masa hadapan,” ujarnya.