Akibat kemalangan itu, Aysar Zahran (gambar kecil) yang menunggang sebuah motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Akibat kemalangan itu, Aysar Zahran (gambar kecil) yang menunggang sebuah motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pelajar perakaunan meninggal dunia...'Allahyarham cemerlang akademik, pernah raih tempat pertama di Malaysia & kedua di dunia pada Disember 2023'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Feb 2025 12:01pm

Pelajar cemerlang perakaunan dari TYMBA Education, Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat - Ampang pada Ahad.

Berita sedih itu dikongsi TYMBA Education iaitu pusat latihan perakaunan yang diperakui Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) menerusi akaun Instagram mereka, juga pada hari yang sama.

Catat TYMBA Education di laman sosial tersebut, arwah Aysar Zahran merupakan pelajar bijak di bawah biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di TYMBA.

"Dalam bidang akademik, pencapaiannya sangat luar biasa.

"Dia pernah merangkul pelbagai kejayaan termasuk meraih tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023.

"Sesungguhnya dedikasi dan kecemerlangannya akan sentiasa dikenang dalam hati kami,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, TYMBA Education merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Aysar Zahran dan mentornya yang dikenali Puan Fatimah (alumni MyPAC merangkap tutor TYMBA).

"Semoga ALLAH mengurniakan kesabaran dan kekuatan kepada mereka serta menempatkan roh Aysar Zahran dalam jannah yang abadi,” maklum TYMBA.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kemalangan yang berlaku pada jam 4.45 petang melibatkan empat buah motosikal dan sebuah kereta dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.

"Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tepi jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Naazron berkata, akibat dari kemalangan itu, mangsa dikenal pasti sebagai Aysar Zahran yang menunggang sebuah motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, lima penunggang dan pembonceng motosikal lain yang cedera dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Katanya, pemandu kedua-dua kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kesemua mereka yang terlibat kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di 019-5897115," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp