Ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai menziarahi jenazah Aysar Zahran yang maut dalam kemalangan di Jalan Hulu Langat-Ampang, dibawa ke Masjid Al Muttaqin untuk disolatkan hari ini. Foto: Bernama
Ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai menziarahi jenazah Aysar Zahran yang maut dalam kemalangan di Jalan Hulu Langat-Ampang, dibawa ke Masjid Al Muttaqin untuk disolatkan hari ini. Foto: Bernama

Hasrat Aysar Zahran bekerja di firma audit terbesar dunia tidak kesampaian - Bapa

03 Feb 2025 11:32pm

Penuntut cemerlang bidang perakaunan, Aysar Zahran Saiful Alimin yang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang semalam, bercita-cita menjadi akauntan di firma audit terbesar dunia suatu hari nanti.

Bapa Allahyarham, Saiful Alimin Mohd Mokhtar, 58, berkata, anaknya itu yang pernah meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) peperiksaan Program Asas Perakaunan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA-FIA) pada 2023, beberapa kali memberitahu perkara itu kepadanya.

"Saya memberi galakan sepenuhnya kepada dia kerana ia merupakan peluang kerjaya yang baik malah saya juga mempunyai beberapa rakan yang bekerja sebagai akauntan. Jadi, saya selalu beritahu Allahyarham supaya mengambil contoh daripada mereka.

"Walaupun sangat sedih kehilangannya, saya reda dengan kejadian ini,” katanya yang kelihatan sugul ketika ditemui di Masjid Al-Muttaqin hari ini.

Amsyar Zahran, 23, (dua dari kiri) begitu pilu semasa menatap buat kali terakhir jenazah adiknya sebelum disolatkan di Masjid Al Muttaqin hari ini. Foto: Bernama
Amsyar Zahran, 23, (dua dari kiri) begitu pilu semasa menatap buat kali terakhir jenazah adiknya sebelum disolatkan di Masjid Al Muttaqin hari ini. Foto: Bernama

Saiful Alimin menyifatkan Aysar Zahran seorang anak yang baik dan lemah lembut selain sentiasa menunggang motosikal dengan berhemah.

Dia berkata, semasa kejadian, Allahyarham yang merupakan pelajar semester dua di TYMBA Education, dalam perjalanan pulang ke penginapan di kolejnya di Gombak selepas melakukan aktiviti kegemarannya di masa lapang iaitu memanah dan sempat singgah di rumah di Hulu Langat.

"Saya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kejadian ini kepada pihak berkuasa dan berharap anak saya akan mendapat keadilan sewajarnya. Saya juga berterima kasih kerana banyak pihak sudi menjadi saksi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pensyarah Gary Danny, 29, berkata, Aysar Zahran pernah memberitahu mengenai cita-citanya untuk bekerja di satu daripada empat firma audit terbesar di dunia dikenali sebagai ‘the big four’ untuk meningkatkan ekonomi keluarganya.

"Setahu saya Aysar Zahran bukan datang daripada keluarga senang dan dia turut menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Saya mengenalinya sebagai seorang yang peramah dan mudah tersenyum serta mempunyai usaha tinggi untuk berjaya, dalam kelas dia memang suka duduk di barisan paling hadapan,” katanya.

Jenazah Aysar Zahran disolatkan oleh ahli keluarga dan ahli kariah masjid di Masjid Al Muttaqin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Dusun Tua hari ini. Foto: Bernama
Jenazah Aysar Zahran disolatkan oleh ahli keluarga dan ahli kariah masjid di Masjid Al Muttaqin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Dusun Tua hari ini. Foto: Bernama

Gary berkata, dia pernah mengajar Aysar Zahran bagi kertas MA1 dalam peperiksaan ACCA-FIA, yang membawa kejayaan cemerlang buat Allahyarham.

"Kenangan paling manis dikongsi bersama Aysar Zahran ialah apabila saya menghubunginya menerusi telefon untuk memberitahu keputusan peperiksaan tersebut dan kami sama-sama menjerit gembira di telefon,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Al-Muttaqin untuk disolatkan pada kira-kira jam 4.30 petang seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Hulu Langat, Selangor.

Media sebelum ini melaporkan pelajar terbabit maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan kira-kira 4.45 petang semalam. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp