Pelajar PhD USIM duduki ujian di sebalik runtuhan di Gaza
Seorang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya lulus dalam Ujian Kelayakan yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat walaupun dalam keadaan kampung halamannya musnah dibom rejim zionis di Gaza, Palestin.
Abdallah Abuajwa, 40, pelajar jurusan Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM nekad menjalani Ujian Kelayakan itu walaupun berdepan dengan risiko dibom oleh tentera Zionis pada bila-bila masa sahaja.
Dalam satu rakaman video pada akhir sesi Ujian Kelayakan tersebut, Abdallah yang berada di Utara Gaza dilihat sedang berada di bawah sebuah khemah di kawasan terbuka dikelilingi oleh runtuhan bangunan yang musnah dibedil tentera Zionis.
Pada akhir sesi Ujian Kelayakan, Abdallah melahirkan rasa terima kasih kepada warga fakulti khususnya jawatankuasa penyeliaan beliau diketuai Dr Ali Nasser Ali Al-Tahitah yang tidak putus asa memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar dalam pengajiannya.
“Saya akan meneruskan pengajian sehingga selesai walau seteruk mana pun keadaannya. Keadaan yang amat sukar ini menjadikan saya seorang yang lebih kuat dan akan terus berdoa agar ALLAH memberikan ilmu yang bermanfaat untuk agama dan negara Palestin,” katanya.
Menurut Abdallah, walaupun infrastuktur ICT di Gaza musnah akibat serangan tentera Zionis, beliau masih berjaya mendapatkan isyarat internet bagi meneruskan sesi Ujian Kelayakan walaupun dengan risiko diserang oleh tentera Israel.
Tambahnya, bagi mendapatkan sumber elektrik untuk mengecas komputer riba dan telefon bimbitnya, dia menggunakan sel solar agar peralatan elektroniknya boleh terus berfungsi.
Sementara itu, penyelia utamanya, Ali Nasser kagum dengan kecekalan pelajar seliannya itu.
“Abdallah menghadapi pelbagai dugaan seperti masalah kewangan, masalah kesihatan dialami anaknya yang menghidapi penyakit kronik iaitu Cerebral Atrophy dan keadaan menjadi lebih buruk dengan perang di Gaza.
"Walaupun ia mengganggu dan melambatkan pengajian Doktor Falsafahnya, Abdallah tetap ingin meneruskan pembelajarannya," katanya
Ujarnya, Abdallah kini berada di semester ketujuh dan dengan kejayaannya lulus Ujian Kelayakan dengan pembetulan, dia kini boleh meneruskan pengajian dan menamatkan PhDnya.
Dalam pada itu, Ali Nasser berkata, isteri Abdallah dan tiga orang anaknya kini berada di Selatan Gaza manakala Abdallah yang terpisah bersama seorang anaknya berada di Utara Gaza.
"Kediaman dan kenderaan beliau di Utara Gaza musnah manakala ramai saudara-maranya terkorban sejak serangan rejim Israel pada Oktober tahun lalu.
"Abdallah sedang menjalankan kajian berkaitan impak kepimpinan digital terhadap pengurusan perubahan di institusi pengajian tinggi di Palestin," katanya.