
Pelajar UniSZA meninggal dunia akibat lemas. 'Pemergian Wan Ahmad Irfan ditangisi sahabat-sahabat seperjuangan'
Belum reda dengan air mata yang tumpah atas pemergian murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Teloi Kanan, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin di Sungai Felda Teloi Kanan, Kedah, kini rakyat Malaysia sekali lagi diuji dengan satu lagi kisah duka yang memilukan.
Kali ini, ia melibatkan seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang ditemui lemas ketika berkelah bersama rakan-rakan di kawasan air terjun Lata Changkah, Terengganu.
Menerusi hantaran UniSZA di Facebook pada Isnin, mangsa dikenali Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA).
"Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 12 Mei 2025. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” catat hantaran itu.
Untuk info, seramai lapan pelajar UniSZA termasuk Wan Ahmad Irfan (mangsa lemas) berkelah dan mandi di kawasan air terjun itu sempena cuti umum Hari Wesak pada Isnin.
Menurut rakan mangsa, Muhammad Hady Izzudyn Ikmal Hisam, 23, dia dan enam rakan mandi bersama manakala seorang lagi rakannya mandi di tempat berbeza.
"Ketika kejadian, arwah dan enam rakan mandi di kawasan tengah sebelum dilihat terkapai-kapai di dalam air.
"Saya terus terjun untuk menyelamatkan mereka dan berjaya menolah empat ke darat manakala seorang lagi diselamatkan orang ramai," katanya yang tidak menyedari arwah hilang.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zuraidi Mohd Yusuf memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.42 petang dan terus menggerakkan pasukan ke lokasi.
Usaha mencari dilakukan secara menyelam dan mayat Wan Ahmad Irfan akhirnya ditemui pada kedalaman 4.5 meter di dasar sungai. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Lima lagi rakan yang hampir lemas turut dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut, manakala jenazah Wan Ahmad Irfan diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat.