Kredi foto: Pexels
Kredi foto: Pexels

Pelajar UUM kembali menghadapi peperiksaan secara bersemuka selepas pandemik.

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
08 Feb 2023 08:56am
A
A
A

Pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pertubuhan ekonomi malahan ia juga menjejaskan sektor dan cara urus dunia pendidikan.

Sesi pembelajaran dan peperiksaan yang dijalankan secara fizikal dalam kelas di sekolah atau universiti terpaksa dilakukan secara dalam talian bagi membendung gejala penyakit itu daripada merebak.

Kini setelah berada dalam keadaan yang lebih terkawal berbanding tahun 2020 dan 2021, Universiti Utara Malaysia (UUM) kembali mengadakan peperiksaan secara bersemuka selepas dua tahun dijalankan secara dalam talian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UUM, seramai 18,851 pelajar melibatkan 639 subjek di 16 pusat pengajian kampus UUM mengambil bahagian dalam peperiksaan berkenaan.

Timbalan Naib Canselor ( Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar
Timbalan Naib Canselor ( Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar



Timbalan Naib Canselor ( Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar berkata, jumlah pelajar yang terlibat untuk peperiksaan kali ini adalah 18,833 pelajar sepenuh masa serta 18 pelajar program kerjasama.

Ujarnya, peperiksaan yang bermula 6 Februari sehingga 25 Februari ini dilangsungkan di seluruh kampus termasuk pusat-pusat pengajian, Inapan Siswa, bilik kuliah, Dewan Muadzam Shah, Dewan Tan Sri Othman Yeop (TSO) dan pejabat Jabatan Hal Ehwal dan Akademik.

Kata beliau, bagi pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar yang mengalami masalah kesihatan pula ditempatkan di Dewan Bukit Kachi, kampus Kuala Lumpur (UUMKL) dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Artikel Berkaitan:

“Mereka akan menduduki peperiksaan kali ini secara bersemuka setelah dua tahun melaluinya secara dalam talian.

“Kehadiran pensyarah turut dibenarkan di pusat-pusat peperiksaan dan diharapkan dengan kehadiran mereka ini dapat memberi semangat kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

UUM mengingatkan kesemua pelajar supaya mematuhi peraturan-peraturan peperiksaan yang telah ditetapkan.

Bagi sesi peperiksaan kali ini seramai 60 Pegawai Tadbir dan staf pelaksana telah dilantik sebagai Pengawas serta Pembantu Peperiksaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok