Muhammad Izuan Faiz
Muhammad Izuan Faiz

Pemansuhan AUKU beri peluang mahasiswa bersuara, terlibat dalam politik

AZLEENDA SAHALUDIN
09 Mar 2023 05:54pm
A
A
A

Pemasuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dilihat memberi ruang kepada mahasiswa universiti seluruh negara untuk bersuara serta terlibat dalam aktiviti politik yang mengikut sistem demokrasi.

Kebebasan ruang dan peluang berpolitik ini perlu didukung bersama tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa untuk lebih memahami politik, parti serta kebertanggungjawaban atas setiap inci niat, lisan dan tindakan yang mereka perjuangkan.

Menurut Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM) sesi 2022/2023, Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman, kebebasan politik ini tidak bermaksud semua mahasiswa boleh melontarkan hujah dan pendapat dengan semberono.

Malah ia sebagai titik tolak kepada mereka untuk lebih berani menggalas tanggungjawab sebagai mahasiswa yang bukan sahaja berjuang menuntut ilmu tetapi turut bangkit mempertahankan hak masing-masing.

“Mahasiswa harus membuktikan pindaan AUKU yang lebih terbuka ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menimba pengetahuan, pengalaman serta kemahiran berorganisasi demi kemajuan diri sebagai persediaan apabila tamat pengajian.

“Biarlah kita sebagai mahasiswa menjadi pemerhati bebas dan pengimbang tara dunia politik semasa,” katanya.

Muhammad Izuan turut mengingatkan, kebebasan yang diberikan perlu digunakan sebaiknya dengan penuh tanggungjawab dan amanah supaya ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, dia juga berpendapat, pemerkasaan mahasiswa tidak hanya terikat dalam konteks kebebasan berpolitik semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Ia melibatkan bagaimana mahasiswa boleh menimba sebanyak mungkin pengalaman kehidupan yang bermakna sepanjang keberadaan mereka di kampus.

Tuturnya, pengalaman-pengalaman inilah yang mendorong kepada ketersediaan mahasiswa ketika berdepan dengan dunia realiti.

“Pemerkasaan mahasiswa di UUM bukan satu perkara baharu kerana barisan kepimpinan mahasiswa sentiasa diberikan keutamaan dan kepercayaan oleh universiti khususnya Hal Ehwal Pelajar & Alumni.

“Sebagai contoh, MPP UUM diberi ruang untuk hadir ke mesyuarat Senat, penglibatan sesi libat urus dalam mesyuarat pengurusan, pengendalian program berimpak tinggi dan pelbagi lagi.

“Kepercayaan ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh kami untuk membawa suara dan pertahankan hak mahasiswa,” tambahnya lagi.

Muhammad Izuan turut menyatakan, tanpa adab dan ilmu, politik negara tidak akan membawa berkat.

Justeru, dia yakin dan percaya mahasiswa hari ini sangat rasional dan progresif dalam mendepani isu-isu semasa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok