Kegembiraan dan keseronokan murid jelas kelihatan apabila intergrasi pemikiran komputasional dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik melalui pengaturcaraan dan robotik dijalankan baru-baru ini.
Kegembiraan dan keseronokan murid jelas kelihatan apabila intergrasi pemikiran komputasional dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik melalui pengaturcaraan dan robotik dijalankan baru-baru ini.

Pemikiran Komputasional: Meningkatkan kemahiran murid berfikir secara Matematik

10 May 2023 05:53pm

Dewasa ini, subjek Matematik kerap didengari sebagai subjek yang sukar apabila ramai murid tidak dapat menguasainya dengan baik.

Selain faktor silibus yang dianggap tinggi, kemahiran murid dalam mempelajari Matematik juga seharusnya perlu dititikberatkan.

Sehingga kini, pelbagai pendekatan telah diambil oleh guru bagi memastikan murid dapat menguasai subjek Matematik dengan baik.

Oleh itu, salah satu usaha yang perlu diambil para pendidik adalah menggunakan pemikiran komputasional bagi meningkatkan kemahiran murid berfikir dalam Matematik.

Di negara ini, pemikiran komputasional bukan sesuatu yang baharu ekoran pengintegrasiannya bermula pada tahun 2017 melalui semakan kurikulum baharu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di dalam mata pelajaran Asas Sains Komputer (ASK) dan Sains Komputer (SK).

Sebelum ini, kesemua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pemikiran komputasional di sekolah hanya tertumpu pada mata pelajaran tersebut.

Kini, aktiviti pemikiran komputasional di negara ini tidak hanya tertumpu kepada mata pelajaran ASK atau SK sahaja sebaliknya telah diperluas kepada mata pelajaran lain seperti mana pembelajaran luar negara yang mengaplikasikan aktiviti pemikiran komputasional dalam subjek Matematik.

Pemikiran komputasional menjadi semakin penting dalam dunia moden ini selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Artikel Berkaitan:

Pemikiran komputasional merujuk kepada keupayaan untuk menguraikan masalah yang kompleks ke dalam bahagian yang lebih kecil dan kemudian menghasilkan langkah-langkah pemecahan masalah secara berperingkat.

Pemikiran ini juga tidak hanya berkaitan dengan Sains Komputer dan Pengkodan sahaja tetapi sangat berguna dalam subjek Matematik.

Penggunaan pemikiran komputasional dalam Matematik dapat membantu meningkatkan kemahiran berfikir secara Matematik dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

Melaluinya, murid-murid dapat memecahkan masalah dengan lebih berkesan dan memahami konsep-konsep Matematik dengan lebih mendalam.

Selain itu juga, pemikiran komputasional juga dapat membantu murid mengembangkan kemahiran pemikiran logik, kreativiti dan memudahkan murid menghubungkan pelbagai aspek Matematik.

Tambahan pula penggunaan alat digital seperti bahasa pengaturcaraan, perisian pendidikan dan permainan Matematik juga dapat membantu dalam pengajaran subjek ini melalui pemikiran komputasional.

Kesemua alat digital ini sedikit sebanyak dapat membantu murid-murid memvisualisasikan konsep-konsep Matematik, mempercepatkan proses pemecahan masalah dan memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik.

“Cikgu, seronok belajar Matematik melalui permainan dalam talian,” ujar murid di sekolah apabila mempelajari subjek tersebut menggunakan permainan Matematik yang mempunyai unsur pemikiran komputasional.

Selain itu, pembelajaran Matematik melalui persekitaran dunia nyata dan masalah sebenar juga merupakan cara yang berkesan dalam menggabungkan pemikiran komputasional dalam pengajaran Matematik sekolah rendah.

Ia membantu murid-murid mengaplikasikan pengetahuan Matematik dalam situasi sebenar, mempercepatkan proses pembelajaran dan membantu murid-murid melihat kepentingan Matematik dalam kehidupan mereka.

Pendekatan pembelajaran secara kolaborasi juga merupakan aspek penting dalam pengajaran Matematik melalui pemikiran komputasional.

Pembelajaran melalui kolaborasi ini dilihat dapat membantu murid-murid mengembangkan kemahiran komunikasi dan belajar daripada kekuatan masing-masing.

Ia juga membantu murid-murid membangunkan kemahiran bekerja secara berpasukan dan memahami bagaimana bekerja dengan baik dalam pasukan.

Secara keseluruhannya, pemikiran komputasional dapat membantu meningkatkan kemahiran berfikir Matematik dalam kalangan murid-murid di sekolah.

Penggunaan alat digital dan pembelajaran melalui persekitaran dunia nyata dan masalah sebenar dapat membantu mempercepatkan proses pembelajaran seterusnya memudahkan murid-murid memahami konsep-konsep Matematik dengan lebih efektif.

Kolaborasi juga merupakan aspek penting dalam pembelajaran Matematik melalui pemikiran komputasional, membantu murid-murid membangunkan kemahiran komunikasi dan bekerja dengan baik dalam pasukan.

Maklumat Penulis

Afiq Fikrie Mohmad (P120949)

Pelajar Siswazah Sarjana Pendidikan Matematik,

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Afiq Fikrie
Afiq Fikrie

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp