Calon disaran berusaha untuk memahami segala formula dalam Matematik dengan jelas.
Calon disaran berusaha untuk memahami segala formula dalam Matematik dengan jelas.

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
07 Dec 2023 05:28pm

Memandangkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berlangsung sehingga 7 Mac 2024, Sinar Bestari terpanggil berkongsi beberapa tip penting skor A+ dalam subjek Matematik.

Guru Matematik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMAPUTRA), Cikgu Juliana Mohd Yunus berkata, calon mampu mendapat keputusan cemerlang dalam Matematik andai mereka memahami segala formula dengan jelas.

Ujarnya, Matematik adalah subjek mudah kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan kita seharian.

Malah katanya, segala aktiviti dalam kehidupan sememangnya melibatkan Matematik seperti perniagaan, masa dan waktu, pengukuran, kajian bintang serta arkitek.

Bagi membantu calon-calon skor A+ Matematik dalam SPM, Cikgu Juliana menyenaraikan lima tip mudah sebagai panduan kepada mereka.

Jom ikuti tip daripada Cikgu Juliana ini!

1) Cuba praktikkan D1D3Q (dibaca sebagai DIDIK)

‘D1D3Q iaitu Do 1 Day (at least) 3 Question’ satu akronim yang sering cikgu gunakan untuk pelajar. Cikgu sentiasa galak dan wajibkan mereka jawab soalan setiap hari sekurang-kurangnya tiga soalan.

Artikel Berkaitan:

Ini bermaksud, paling sedikit atau jika tidak sempat kerana pelbagai kesibukan urusan lain, mesti jawab tiga soalan. Ya, tiga soalan sahaja! Hari yang lapang, pilih tiga soalan Kertas 2. Hari yang paling sibuk, pilihlah tiga soalan objektif. Mudah bukan?

Kita biasa dengar ‘practice makes perfect’ atau apa jua istilah lain, semuanya menggalakkan kita untuk terus mencuba dan menjawab seberapa banyak soalan Matematik setiap hari.

Percayalah, semakin banyak soalan yang dijawab, semakin mahirlah kita dengan soalan Matematik.

Sampai satu masa, kita akan perasan yang rupanya soalan Matematik ini berkisar soalan yang sama sahaja. Hanya ayat, situasi dan nombornya sahaja yang bertukar untuk diselesaikan hingga mendapat jawapan yang betul.

2) Jawab semua soalan SPM sebenar tahun sebelumnya

Pastinya anda mempunyai koleksi buku kerja yang mengumpulkan soalan-soalan SPM tahun lalu atau ada dalam kalangan guru meminta anda menjawab soalan sebenar SPM tahun lalu. Betul?

Jadi, manfaatkan semua soalan tersebut. Pastikan pelajar cuba menjawab setiap soalan SPM sebenar sekurang-kurangnya untuk SPM lima tahun terkini.

Dengan menjawab soalan-soalan ini, pelajar akan semakin biasa dengan bentuk-bentuk soalan rutin, soalan bukan rutin serta soalan berbentuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang akan ditanya dalam soalan Matematik SPM sebenar nanti.

Secara tidak langsung, pelajar akan lebih bersedia untuk menjawab soalan Matematik dengan lebih yakin sewaktu menduduki peperiksaan bagi kertas Matematik SPM kelak.

3) Kuasai teknik menjawab langkah demi langkah dengan betul

Untuk mata pelajaran Matematik khususnya, langkah kerja adalah teramat penting.

Penyelesaian dengan jalan kerja yang tidak lengkap atau tidak tepat, walaupun anda memberikan jawapan akhir yang betul, tetap akan membuatkan kehilangan markah.

Ini sangat merugikan kerana pelajar akan kehilangan markah pada soalan yang sepatutnya boleh dapat markah penuh!

Jadi, pastikan pelajar tidak tertinggal sebarang langkah pengiraan penting yang membolehkan anda berpeluang untuk mengumpul markah.

4) Mahirkan diri menggunakan kalkulator saintifik

Menjawab soalan Matematik, pastinya wajib bawa bersama kalkulator saintifik. Alangkah rugi jika kita ada kalkulator saintifik tetapi tidak mahir menggunakan kalkulator dengan bijak.

5) Tidak dapat semua, jangan tinggal semua

Untuk tip di saat akhir, pelajar perlu bijak untuk cemerlang dalam kertas peperiksaan Matematik.

Bagi pelajar yang masih lemah, anda boleh cuba strategi ini untuk skor Matematik. Pelajar tidak perlu untuk mahir dalam semua topik, cukup sekadar memilih beberapa topik yang mudah untuk dikuasai.

Bila sudah kenal pasti topik, mohon fokus dan mahirkan diri dengan jalan kerja yang betul untuk dapat markah penuh. Insya-ALLAH, pasti boleh!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp