Zambry ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Zambry ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Pemindahan STPM, matrikulasi ke KPT masih peringkat awal, libatkan pindaan akta - Zambry

14 Dec 2025 01:14am

Cadangan kerajaan untuk memindahkan program Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih di peringkat awal dan memerlukan proses yang panjang termasuk pindaan akta sedia ada.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu merupakan sebahagian perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual bermula pada 2026.

Menurutnya, sebarang keputusan rasmi hanya akan dibuat selepas proses semakan, pembentukan jawatankuasa khas dan penyediaan laporan lengkap disiapkan.

"Dalam RMK13, kerajaan merancang untuk meletakkan pengajian pra universiti, termasuk Tingkatan Enam dan matrikulasi di bawah KPT.

"Namun proses ini akan mengambil masa kerana ia melibatkan pindaan akta yang perlu dibentangkan terlebih dahulu di Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor Fasa ke-2 di Arena Terbuka Teluk Gedung, Pulau Pangkor pada Khamis.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi meneliti aspek kesinambungan daripada KPM ke KPT, termasuk implikasi struktur, akademik dan pentadbiran.

"Kita harap kajian awal serta penilaian keberkesanan cadangan itu dapat dimulakan sebaik sahaja RMK-13 bermula tahun hadapan," katanya.

Mengulas kebimbangan sesetengah pihak yang mendakwa langkah itu boleh menjejaskan kepentingan sesuatu kaum, Zambry menegaskan dakwaan sebegitu adalah tidak berasas.

"Kita ambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan, tetapi untuk membuat satu kesimpulan pada tahap ini adalah terlalu awal.

Artikel Berkaitan:

"Biarlah kita lihat dahulu jawatankuasa yang akan dibentuk, apabila mereka memberikan laporan, kerajaan akan meneliti sebelum membuat keputusan muktamad," katanya. - Sinar Harian 

 

 

Ringkasan AI

  • Cadangan pindah program STPM dan matrikulasi ke KPT masih awal dan memerlukan pindaan akta
  • Perkara itu sebahagian dari Rancangan Malaysia Ke-13 bermula 2026
  • Keputusan rasmi hanya dibuat selepas proses semakan dan pembentukan jawatankuasa khas
  • Proses pemindahan melibatkan pindaan akta yang perlu dibentangkan di Parlimen
  • Jawatankuasa akan meneliti aspek kesinambungan daripada KPM ke KPT termasuk implikasi struktur, akademik dan pentadbiran
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp