No Image Caption

Pendakian Merdeka MMU 2023 pupuk semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan penuntut

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
22 Sep 2023 11:41am
A
A
A

Seramai 54 mahasiswa dan kakitangan Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka menyertai Pendakian Merdeka MMU 2023 di Bukit Beruang, Melaka baru-baru ini.

Program pendakian yang dianjurkan Jawatankuasa Pelajar Kolej dengan sokongan Jabatan Gaya Hidup dan Pengalaman Pelajar MMU bertujuan memupuk semangat patriotik dan perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang lalu.

Para pendaki yang terdiri daripada 47 penuntut dan tujuh kakitangan MMU memulakan pendakian seawal 8 pagi dan tiba di puncak bukit tersebut selepas mengharungi perjalanan sejauh 2.38 kilometer (km) dengan mengambil masa dua jam 30 minit.

Pengarah program, Tay Sze Min berkata, pengembaran berkenaan telah menyemai nilai perpaduan dalam kalangan peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pada masa sama memperkukuhkan semangat cintakan tanah air.

Ujar mahasiswa jurusan undang-undang berkenaan, semua peserta berasa amat gembira kerana bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman bersama-sama tetapi mereka juga turut menghadapi cabaran, memupuk aktiviti yang menyihatkan badan, menghargai alam sekitar dan menanam rasa cinta kepada negara dengan lebih mendalam.

Tay Sze Min
Tay Sze Min

“Kami telah sampai ke puncak bukit dengan membawa pelbagai pelajaran. Antaranya ialah ia mengukuhkan lagi perpaduan kami seperti sebuah keluarga tanpa mengira perbezaan latar belakang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi mahasiswa undang-undang, Muhamad Yusuf Akram Azharudin berkata, walaupun pendakian itu diharungi dengan cabaran, tetapi ia dapat dihadapi dengan kerjasama erat dan semangat cintakan negara.

Artikel Berkaitan:

"Ekspedisi ini mengeratkan lagi hubungan kami untuk menempuh semua cabaran yang mendatang dengan semangat muhibah, harmoni, sabar, tolong menolong antara satu sama lain dan memahami pendakian sebagai satu perjuangan yang mungkin sedikit sebanyak dilalui generasi terdahulu dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah,” katanya yang berasal dari Johor.

Muhammad Yusuf Akram Azharudin
Muhammad Yusuf Akram Azharudin

Sementara itu, Pengarah Jabatan Gaya Hidup dan Pengalaman Pelajar MMU, Sri Kusumawati Mohd Daud melahirkan rasa puas hati kerana program berkenaan dapat menyemai semangat cintakan tanahair melalui aktiviti rekreasi.

Jelasnya, program tersebut sekali gus telah memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia 16 September baru-baru ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok