Pasukan pendebat dari TPPS dinobat johan kategori bahasa Inggeris dalam Musabaqah Debat Inter-Tamhidi USIM.
Pasukan pendebat dari TPPS dinobat johan kategori bahasa Inggeris dalam Musabaqah Debat Inter-Tamhidi USIM.

Pendebat berani lagi mahir susun kata-kata

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
13 Dec 2023 02:12pm

Sudah sedekad Musabaqah Debat Inter-Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dianjurkan Pusat Tamhidi (Asasi) dengan kerjasama Kelab Debat dan Pusat Hal Ehwal Pelajar.

Dalam tempoh 10 tahun itu, kelompok pelapis pendebat muda universiti yang berbakat besar berjaya dilahirkan sekali gus berpeluang dibawa ke pertandingan pidato kompetitif dan berprestij.

Musabaqah Debat Inter-Tamhidi itu, khusus buat penuntut peringkat Tahmidi USIM melibatkan wakil-wakil pendebat dari empat program Tamhidi.

Program-programnya terdiri daripada Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains (TPPS); Tamhidi Sains Teknologi dan Fizikal (TSFT); Tamhidi Syariah dan Undang-undang (TSU) serta Tamhidi Perakaunan dan Muamalat (TPM).

Sementara itu, Dekan Pusat Tamhidi USIM, Profesor Madya ChM Dr Juliana Jumal berkata, penganjuran Musabaqah Debat Inter-Tamhidi yang melabuhkan tirainya baru-baru ini, membolehkan pengurusan Tamhidi memilih mahasiswa yang berpotensi untuk menyertai pertandingan tahun hadapan.

No Image Caption

“Pertandingan Debat Antara Asasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Pertandingan Debat Piala Naib Canselor USIM akan berlangsung pada tahun 2024.

“Jika melihat kepada rekod sebelum ini, Pusat Tamhidi USIM sememangnya berjaya melahirkan pendebat muda untuk mengikuti pertandingan diadakan.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, kita akan menghantar barisan pendebat hebat yang pastinya bakal mengharumkan nama universiti dan negara,” ujarnya.

Tiga kategori

Musabaqah Debat Inter-Tamhidi 2023, mengetengahkan tiga kategori pertandingan iaitu bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Dalam pertandingan itu, para pendebat program TPPS menunjukkan penguasaan dan kecemerlangan mereka apabila mara ke peringkat akhir bagi kesemua kategori bahasa.

Menerusi kejayaan ke peringkat akhir, mereka (penuntut TPPS) dinobatkan johan kategori bahasa Inggeris dan naib johan bagi kesemua kategori tersebut.

No Image Caption

Manakala pendebat TSU pula muncul johan kategori bahasa Melayu dan pendebat TSFT mengungguli kategori bahasa Arab.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300, piala dan sijil penghargaan bagi johan, manakala naib johan meraih RM200, piala dan sijil penghargaan.

Dalam pada itu, Penasihat Kelab Debat, Mohd Zaini Othman berkata, kelab tersebut komited mengangkat kepentingan pengucapan awam di peringkat universiti.

“Kelab Debat USIM adalah tulang belakang penganjuran Musabaqah Debat Inter-Tamhidi selama ini.

“Dengan kerjasama ini, sedikit sebanyak membantu universiti membentuk karisma dan peribadi unggul dalam diri seorang pendebat,” ujarnya selaku Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi, USIM.

Peserta berkongsi kegembiraan dengan pencapaian masing-masing dalam program ini.
Peserta berkongsi kegembiraan dengan pencapaian masing-masing dalam program ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp