Hock San (kiri) dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Antarabangsa UNITAR di Putrajaya pada Isnin.
Hock San (kiri) dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Antarabangsa UNITAR di Putrajaya pada Isnin.

Pengerusi LBS terima Doktor Kehormat Universiti Antarabangsa UNITAR

NURUL HUDA HUSAIN
21 Nov 2023 10:20am
A
A
A

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Ir Lim Hock San dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Antarabangsa UNITAR di Putrajaya pada Isnin.

Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan atas kepimpinan cemerlang beliau dalam menerajui syarikat hingga dikenali salah sebuah pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

LBS dalam satu kenyataan berkata, penganugerahan itu juga turut mengambil kira sumbangan Hock San memperkasakan komuniti melalui penglibatan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan reputasi beliau sebagai salah seorang individu penting dalam jalinan hubungan dua hala Malaysia-China.

“Selaku jurutera profesional dan Profesor Adjung di Universiti Antarabangsa UNITAR, Hock San menamatkan pengajiannya pada tahun 1982 dengan Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Awam dari University of Wales, Science & Technology.

“Sekembalinya ke Malaysia, beliau memainkan peranan penting membangunkan LBS yang telah diasaskan oleh mendiang bapanya, Datuk Seri Lim Bock Seng sebagai sebuah pemaju hartanah terkemuka di Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, Ijazah Kehormat Kedoktoran dari Universiti Antarabangsa UNITAR membuktikan kepimpinan dan komitmen Hock San yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha meningkatkan kecemerlangan perniagaan serta pembangu-nan komuniti.

“Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam industri pembangunan hartanah, Hock San turut membawa LBS untuk dinobatkan sebagai salah sebuah syarikat pengurusan terbaik di Malaysia melalui pengiktirafan oleh Deloitte bagi tahun 2022- 2023.

“Di bawah kepimpinannya juga, LBS berjaya mencapai kejayaan luar biasa, selain berjaya membina lebih 40,000 unit rumah di seluruh Malaysia dan mencapai jualan melebihi RM2 bilion pada tahun lalu,” menurut kenyataan tersebut.

Komitmen Hock San bukan sahaja tertumpu dalam bidang perniagaan, bahkan beliau juga menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia iaitu persatuan kaum Cina terbesar di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi LBS itu juga memegang jawatan Naib Presiden Persekutuan Lim Malaysia dan jawatan-jawatan penting lain dalam pelbagai persatuan.

Sementara itu, dalam ucapan penerimaannya, Hock San menzahirkan penghargaan atas penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok