Hanya dengan komitmen menyeluruh, kepercayaan rakyat dapat dipelihara dan tadbir urus negara terus kekal utuh serta bermaruah, berteraskan semangat 'Negara Kita Jaga, Kita Pertahankan'. Gambar kecil: Muhamad Azuan.
Hanya dengan komitmen menyeluruh, kepercayaan rakyat dapat dipelihara dan tadbir urus negara terus kekal utuh serta bermaruah, berteraskan semangat 'Negara Kita Jaga, Kita Pertahankan'. Gambar kecil: Muhamad Azuan.

Penjawat awam perlu semai budaya integriti seiring konsep Malaysia Madani

02 Feb 2026 06:00pm

Dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang maju, stabil dan dihormati, perkara pokok yang menjadi kekuatan sebenar sesebuah pentadbiran terletak pada integriti penjawat awamnya.

Golongan inilah yang sebenarnya menjadi jentera pelaksana dasar kerajaan, penghubung antara kerajaan dan rakyat serta penentu keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan menyeluruh.

Oleh itu, nilai integriti dalam kalangan penjawat awam bukan sekadar elemen tambahan tetapi ia teras kepada kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan asas kukuh kepada tadbir urus yang baik. Dalam kerangka Malaysia Madani, budaya integriti perlu disemai dan diperkukuh bukan hanya melalui dasar, tetapi melalui amalan dan tingkah laku harian penjawat awam.

Integriti dan kepercayaan rakyat

Konsep Malaysia Madani membuka ruang kepada pembangunan yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keadilan sosial. Bagi memastikan gagasan ini berjaya, sektor awam umumnya mesti dipenuhi oleh warga kerja yang mendahulukan amanah, menolak segala unsur rasuah dan menegakkan prinsip telus serta bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Tanpa integriti yang kukuh, kepercayaan rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan akan terus merosot, sekali gus melemahkan kefungsian dasar-dasar kerajaan serta dipandang enteng oleh masyarakat.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan cabaran integriti dalam sektor awam apabila terdapat penemuan-penemuan yang sangat membimbangkan melibatkan kepimpinan tertinggi dalam organisasi beruniform apabila dituduh atas tuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pelanggaran amanah berkaitan kontrak perolehan yang belum pernah terjadi pada tahap kepimpinan tertinggi sebelum ini.

Peristiwa ini menjadi tamparan yang hebat buat sebuah organisasi yang sekian lama disanjung kerana disiplin dan ketertibannya. Namun di sebalik peristiwa ini tersirat satu pengajaran yang amat bermakna iaitu integriti bukan milik jawatan, bukan juga hak eksklusif usia atau kedudukan. Ia adalah nilai yang perlu dipupuk, disemai dan dipelihara setiap hari, bukan sekadar hanya terukir indah pada slogan semata-mata.

Kejadian ini mengingatkan kita bahawa pembudayaan integriti adalah tanggungjawab bersama. Ia perlu melibatkan seluruh penjawat awam dari peringkat bawahan hingga ke peringkat tertinggi, tanpa sebarang pengecualian.

Artikel Berkaitan:

Hanya dengan komitmen menyeluruh, kepercayaan rakyat dapat dipelihara dan tadbir urus negara terus kekal utuh serta bermaruah, berteraskan semangat 'Negara Kita Jaga, Kita Pertahankan'.

Cabaran gejala rasuah dalam perkhidmatan awam

Realitinya, gejala rasuah masih menjadi satu cabaran terbesar di negara kita. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sejak tahun 2023 hingga 2025, seramai 1,436 penjawat awam telah ditangkap kerana pelbagai kesalahan rasuah mewakili kira-kira 39.7 peratus daripada keseluruhan tangkapan dalam tempoh tersebut.

Kategori kesalahan termasuk meminta dan menerima sogokan, tuntutan palsu serta salah guna kuasa. Ia secara langsung mencemarkan imej institusi kerajaan serta merencatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Statistik sedemikian bukan sahaja memberi gambaran tahap keseriusan gejala ini, malah mengingatkan kita bahawa pembudayaan integriti perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh serta bersistematik dan bukannya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berulang kali menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan rasuah dalam apa jua bentuknya.

Beliau menegaskan bahawa pegawai kerajaan termasuk dalam pejabatnya sendiri tidak akan dilindungi daripada tindakan siasatan jika terlibat dalam salah laku rasuah kerana tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.

Dalam ucapannya sempena Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan, beliau menyeru agar pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa untuk melaksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat ke jawatan lebih rendah susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.

Walaupun pelbagai kejayaan yang dicapai wajar diraikan, namun pada masa sama kerajaan perlu bersikap insaf dengan menilai secara jujur kekuatan dan kelemahan yang masih wujud, khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa.

Tegas beliau, pembaharuan hanya boleh dicapai jika semua pihak bekerja sebagai satu pasukan, menolak sikap sambil lewa serta berani menegakkan nilai kebenaran, keikhlasan, ihsan dan keadilan demi menyelamatkan bangsa dan negara.

Implikasi kepada masyarakat dan pembangunan negara

Rasuah bukan sahaja memberi kesan kepada imej perkhidmatan kerajaan, tetapi juga membawa implikasi ekonomi besar.

Wang negara yang sepatutnya digunakan untuk membina sekolah, hospital, infrastruktur asas dan sokongan kepada golongan kurang berkemampuan, boleh hilang akibat rasuah.

Lebih membimbangkan, amalan rasuah yang tidak disentuh akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat di mana penyalahgunaan kuasa merupakan sesuatu yang normal.

Ia sekali gus menjadi budaya bercanggah dengan nilai Madani yang mementingkan keadilan dan etika.

Memperkukuh budaya integriti melalui pendidikan dan sistem

Budaya integriti bukan hanya boleh dipupuk melalui peraturan dan garis panduan. Ia perlu disemai sejak di bangku sekolah lagi melalui sesi ceramah oleh SPRM, pertandingan pidato serta kempen tolak rasuah agar anak-anak di awal usia muda mula membenci budaya rasuah yang boleh membawa kesan buruk kepada negara dan generasi akan datang.

Selain itu, bagi penjawat awam pula yang mempunyai kesedaran tinggi tentang tanggungjawab moral akan lebih cenderung membuat keputusan yang beretika serta menolak segala bentuk amalan yang boleh mencemarkan kepercayaan rakyat dan merosakkan nama organisasi.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli dalam ucapannya sempena Perjumpaan Mingguan Bersama Pengurusan Tertinggi Universiti menyeru agar semua warga universiti dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, berintegriti dan sentiasa ikhlas dalam bekerja. Hindari budaya kerja silo, hargai rakan sekerja dan bina kekuatan melalui kerjasama.

Selain itu, sistem pentadbiran dan prosedur kerja juga perlu disemak secara berkala bagi memastikan tiada ruang kepada penyelewengan.

Penggunaan teknologi terkini dalam urusan perolehan, kewangan dan pengurusan projek boleh membantu mengurangkan interaksi manusia secara langsung yang boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Peranan pemimpin dan teladan integriti

Pemimpin dalam organisasi kerajaan perlu lah menjadi contoh teladan kepada warga kerja. Kepimpinan yang telus dan berani dalam mengambil tindakan tegas terhadap salah laku tidak hanya memberi isyarat bahawa budaya rasuah tidak boleh diterima langsung dalam organisasi, malah akan membantu mewujudkan budaya kerja yang bebas rasuah serta menghormati undang-undang dan prinsip moral.

Ketegasan seperti itu selari dengan semangat Malaysia Madani yang mengutamakan prinsip integriti dalam pentadbiran negara.

Keseluruhan aspirasi Malaysia Madani hanya dapat dicapai apabila penjawat awam menjadikan integriti sebagai budaya kerja yang setia, nyata dan berterusan.

Integriti bukan sekadar dimiliki atau meniti di mulut sahaja tetapi perlu ditonjolkan melalui setiap tindakan harian dalam menjalankan tugas kepada rakyat dan negara.

Dengan kombinasi komitmen pemimpin, sistem yang teguh, pendidikan etika dan pengawasan yang efektif, sudah pasti dapat membina perkhidmatan awam yang bukan sahaja cekap dan profesional tetapi juga dihormati kerana integritinya.

Penjawat awam perlu sedar bahawa mereka bukan sekadar pedagang birokrasi tetapi juga penjaga kepada amanah rakyat.

Budaya integriti bukan pilihan, namun ia adalah tanggungjawab moral dan nasional yang perlu dihayati demi masa depan Malaysia yang lebih bersih, cemerlang dan bermaruah.

 

Maklumat penulis:

Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

 

Ringkasan AI

  • Integriti penjawat awam adalah teras kepada kepercayaan rakyat dan tadbir urus yang baik dalam kerangka Malaysia Madani
  • Rasuah dalam sektor awam merupakan cabaran utama yang mencemar imej kerajaan dan merendahkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan
  • Statistik menunjukkan peningkatan tangkapan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam, memerlukan usaha serius dalam pembudayaan integriti
  • Pendidikan dan sistem pentadbiran yang baik diperlukan untuk memupuk dan memperkukuh budaya integriti dari bangku sekolah hingga ke peringkat kerja
  • Pemimpin organisasi harus menjadi contoh teladan dalam menunjukkan integriti dan ketelusan sebagai usaha membangun perkhidmatan awam yang profesional dan dihormati
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp