SK Sungai Padas diumum johan dalam Pertandingan Video Pendek 'Integriti Dibina Rasuah Binasa' pada Rabu. FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
SK Sungai Padas diumum johan dalam Pertandingan Video Pendek 'Integriti Dibina Rasuah Binasa' pada Rabu. FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

SK Sungai Padas rangkul johan, tempat kelima & anugerah khas Video Integriti 2025! Bangga orang Sabah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Jan 2026 01:36pm

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Padas, Sandakan, Sabah mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul tiga anugerah dalam Pertandingan Video Pendek 'Integriti Dibina Rasuah Binasa' sempena Kempen Integriti dan Antirasuah 2025 di Karangkraf pada Rabu.

Kejayaan luar biasa itu menyaksikan mereka membawa pulang johan, tempat kelima dan Anugerah Tontonan Tertinggi (anugerah khas) sekali gus membuktikan keupayaan murid sekolah luar bandar Sabah untuk bersaing dan menyerlah di peringkat kebangsaan.

Menurut wakil guru, Cikgu Awang Amirul Hazwan Awang Mahmudin, pencapaian tersebut merupakan hasil usaha gigih murid-muridnya yang bersepakat menghasilkan video bertajuk ‘Siti Si Integriti’ dengan penuh dedikasi dan kreativiti.

"Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang diberikan oleh ALLAH SWT. Kejayaan ini adalah rezeki untuk murid-murid saya yang berusaha keras sepanjang proses penghasilan video.

"Mereka benar-benar memberikan yang terbaik. Masing-masing berbakat dan komited. Sebagai guru, saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka," katanya ketika ditemu bual Sinar Bestari.

Beliau turut memaklumkan bahawa kejayaan tersebut bukan kali pertama dikecapi SK Sungai Padas, sebaliknya merupakan kali kedua berturut-turut sekolah itu dinobatkan sebagai johan bagi pertandingan sama tahun lalu.

FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

Menurutnya, perbezaan ketara pada tahun ini ialah pihak sekolah menghantar dua penyertaan dan tidak menyangka kedua-duanya berjaya menambat hati juri sehingga meraih kedudukan dalam lima teratas.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi, namun tidak sangka kedua-dua penyertaan terpilih. Ia satu kejayaan besar buat sekolah dan murid-murid," jelasnya.

Bagi kemenangan johan, SK Sungai Padas membawa pulang wang tunai RM1,500, cenderahati, e-sijil dan sekotak al-Quran wakaf sumbangan Warisan Ummah.

Tempat kelima pula, mereka menerima RM300, cenderahati, e-sijil dan sekotak al-Quran wakaf yang sama.

Manakala Anugerah Tontonan Tertinggi, SK Sungai Padas membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta hadiah sampingan serupa, membuktikan video hasil murid sekolah itu berjaya menarik perhatian orang ramai dan memberi impak besar kepada masyarakat.

Sementara itu, pertandingan berprestij tersebut turut menyaksikan SK Dato’ Laksamana Raja Mahkota, Perak muncul naib johan, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, Kedah (tempat ketiga) dan SK Pengkalan Ara, Perak (tempat keempat).

 

 

Ringkasan AI

  • Sekolah Kebangsaan Sungai Padas, Sandakan, Sabah menang tiga anugerah dalam Pertandingan Video Pendek 'Integriti Dibina Rasuah Binasa'
  • Mereka meraih johan, tempat kelima dan Anugerah Tontonan Tertinggi
  • Pencapaian berdasarkan usaha gigih murid-murid dengan video bertajuk 'Siti Si Integriti'
  • Ini adalah kali kedua berturut-turut sekolah itu dinobatkan sebagai johan untuk pertandingan yang sama
  • Mereka membawa pulang wang tunai, cenderahati, e-sijil dan sekotak al-Quran wakaf sumbangan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp