
750 pek bubur lambuk: Usaha SAM Bestari ceriakan Ramadan komuniti
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, di mana umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah dan amalan kebajikan.
Salah satu tradisi yang sinonim dengan bulan mulia ini adalah agihan bubur lambuk, sejenis juadah istimewa yang bukan sahaja mengenyangkan tetapi juga melambangkan semangat perpaduan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Setiap tahun, masjid, surau, persatuan kebajikan, dan pelbagai organisasi pasti akan berganding bahu dalam menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai, khususnya golongan yang memerlukan.
Tidak terkecuali, Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari) menjalin sinergi bersama Masjid Al-Falah, Subang Jaya, untuk menyediakan lebih 700 bekas bubur lambuk.

Guru pengawas sekolah itu, Ahmad Zulaini Makinud-din berkata, bubur lambuk akan dibungkus dan diedarkan kepada komuniti setempat yang tinggal berhampiran dengan Masjid Al-Falah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya dan pihak sekolah.
“Program menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk ini sebenarnya pengalaman pertama pihak sekolah. Ia bertujuan menyemai sifat empati dan memupuk kemahiran bersosial dalam kalangan murid.
“Walaupun penat menahan kelelahan badan dek kelaparan dan peritnya tekak dek kehausan, namun ia tidak menjadi halangan kepada pelajar untuk menyediakan 750 pek bubur lambuk.

“Lagipun, dorongan serta sokongan penganjur kepada pelajar tidak terputus, menyebabkan mereka terus bersemangat,” katanya yang juga menyelaras pimpinan Al-Fateh SAM Bestari.
Melalui agihan bubur lambuk ini, pihak sekolah dapat melihat bagaimana semangat gotong-royong terus subur dalam kalangan pelajar.
Ahmad Zulaini turut memaklumkan bahawa SAM Bestari ingin menjadikan program agihan bubur lambuk ini lebih besar dan berkesan pada masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pelajar, Muhamad Aiman Danish Mat Rani, 17, berkongsi bahawa sambutan daripada komuniti amat menggalakkan.

Manakan tidak, rata-rata penduduk setempat yang berbuka puasa di Masjid Al-Falah memberikan maklum balas yang positif.
“Apa yang lebih mengejutkan, pek-pek bubur lambuk ini berjaya dihabiskan dan dinikmati mereka.
“Walaupun ini merupakan program pertama kami, komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar lain begitu mengagumkan,” katanya.
Aktiviti berkenaan bukan sekadar menyajikan makanan berbuka puasa, tetapi juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta menyemai nilai kesukarelawanan dalam diri setiap individu yang terlibat.