Tiga penuntut POLIMAS yang menyertai program Mentor-Mentee sedang menyediakan minuman kopi.
Tiga penuntut POLIMAS yang menyertai program Mentor-Mentee sedang menyediakan minuman kopi.

Penuntut POLIMAS timba ilmu keusahawanan menerusi program Mentor-Mentee

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
02 Mar 2023 05:54pm

Penglibatan mahasiswa dalam dunia keusahawanan memberi peluang kepada mereka mempraktikkan ilmu perniagaan dan memperoleh pengalaman baharu dalam bidang tersebut.

Sebagai contoh, program Mentor-Mentee anjuran Unit Pembangunan Keusahawanan, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dilihat sebagai saluran terbaik dalam membantu penuntut mengetahui selok belok dunia perniagaan seterusnya menjadi usahawan berjaya.

Mentor-Mentee yang disertai enam mahasiswa POLIMAS memuji program yang disifatkan sangat menarik dan penuh dengan ilmu keusahawanan.

Menurut mahasiswa Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Zulfa Husna Khairil Zulhelmi, dia menyertai Mentor-Mentee kerana begitu meminati bidang perniagaan.

Katanya, mentor, Zulfahmi Fadzil banyak berkongsi tip bagaimana menjalankan perniagaan dengan betul supaya mendatangkan keuntungan.

“Mentor memberitahu memang bukan mudah untuk kekal dalam perniagaan namun beliau telah mengajar kami supaya terus bersikap positif dan sanggup berdepan risiko jika mahu berjaya,” ujarnya.

Tiga penuntut POLIMAS yang menyertai program Mentor-Mentee sedang menyediakan minuman kopi.
Tiga penuntut POLIMAS yang menyertai program Mentor-Mentee sedang menyediakan minuman kopi.

Selain Zulfa Husna, terdapat lima penuntut POLIMAS lain yang menyertai program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mereka adalah Muhammad Nur Najman Ya’kup dan Ahmad Aqram Akid Ismail, masing-masing dari Jabatan Perdagangan; Mohamad Hazim Mohamad Rosidi (Jabatan Kejuruteraan Elektrik); Nur Nasuha Mohd Nasir (Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dan Muhammad Aiman Shafiq Mohd Salleh (Jabatan Kejuruteraan Mekanikal).

Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan Keusahawanan POLIMAS, Siti Hasmiza Hassan berkata, Mentor-Mentee dianjurkan bagi membantu mahasiswa mempraktikkan ilmu keusahawan di lapangan.

“Keenam-enam penuntut POLIMAS mengunakan segala ilmu diperolehi dalam kuliah di Kiosk Keusahawan Ricetta Coffee milik alumni POLIMAS, Zulfahmi.

“Ricetta Coffee yang menjalankan perniagaan minuman kopi premium dan minuman kisar berperisa bertindak membantu mahasiswa mempelajari perkara berkaitan kopi.

“Kiosk yang bernaung di bawah Fami Vision Enterprise ini juga membantu peserta cara menjana keuntungan dalam tempoh tertentu,” ujar Siti Hasmiza.

Kamaludin menandatangani plak perasmian Kiosk Keusahawanan Recitta Coffee baru-baru ini.
Kamaludin menandatangani plak perasmian Kiosk Keusahawanan Recitta Coffee baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud melahirkan penghargaan kepada alumninya, Zulfahmi kerana gigih melatih enam penuntut menjadi usahawan menerusi Mentor-Mentee.

“Kerjasama antara POLIMAS dan Fami Vision Enterprise menepati matlamat politeknik dalam menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan akan datang.

“Selain itu, program berjaya memupuk nilai-nilai keusahawanan yang tulen seperti belajar mengambil risiko, memupuk minda keusahawanan, kemahiran dan kecekapan membuat keputusan serta dapat mengembangkan jaringan rangkaian usahasama,” ujar Kamaludin ketika merasmikan Kiosk Keusahawanan Ricette Coffee di POLIMAS.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Dr Mhd Azmin Mat Seman.

Kamaludin memotong reben perasmian Recitta Coffee.
Kamaludin memotong reben perasmian Recitta Coffee.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp