UniMAP terima pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan Bertauliah (ATP) daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bantu graduan TVET - Foto 123rf
UniMAP terima pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan Bertauliah (ATP) daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bantu graduan TVET - Foto 123rf

Perkasakan TVET, UniMAP fokus bantu graduan

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
09 Mar 2023 04:25pm

Melihat kepada kemajuan teknologi semasa, ruang pembelajaran juga perlu seiring dengan keperluan indusri bagi memastikan graduan-graduan negara tidak tercicir yang mendorong kepada pengangguran.

Untuk itu, Pusat Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerima pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan Bertauliah (ATP) daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Pengiktirafan itu menjadikan Pusat TVET UniMAP boleh menjalankan 14 jenis aktiviti yang boleh menyumbang kepada pentauliahan Pembangunan Profesional Berterusan (CBD), Teknologis (Ts) dan Juruteknik Bertauliah (Tc).

Menurut Naib Canselornya, Profesor Dr Zaliman Sauli, Pusat TVET ini turut dibenarkan menggunakan logo MBOT bagi tujuan promosi kepada pelajar-pelajar yang berminat.

“Ini merupakan antara langkah awal dalam visi menjadi antara peneraju Pusat TVET di negara terutamanya di Perlis.

“Kami juga menyasarkan untuk terus mengembangkan kerjasama dengan industri dan institusi TVET lain sebagai usaha memartabatkan lepasan TVET ini supaya dapat menyumbang dengan lebih bermakna kepada kemampanan ekonomi negara,” katanya.

Zaliman menambah, sebagai satu organisasi yang memperkasakan kriteria dan profil bakal graduan TVET, pusat ini telah menetapkan enam teras iaitu latihan, akademik, produk, perkhidmatan, perundingan dan komuniti.

Ulasnya, makmal industri di pusat tersebut juga menawarkan program pensijilan profesional kepada pelajar dan staf; orang luar sama ada pelajar atau staf institusi pengajian tinggi yang lain dan sekolah seluruh negara; pekerja industri yang berminat serta orang perseorangan.

Artikel Berkaitan:

“Program pensijilan profesional ini merangkumi kompetensi yang diperlukan oleh industri mengikut bidang tertentu seperti elektronik, automasi industri, Internet Kebendaan (IoT) dan telekomunikasi.

“Ini kerana pensijilan berkenaan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan serta tingkatkan kemahiran (upskilling) dan penambahbaikan kemahiran (reskilling) dalam kalangan tenaga pengajar institusi, sekolah dan pekerja industri,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp