Lima fokus perhebat sistem TVET POLYCC
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menggariskan lima fokus utama untuk tahun 2024, selari fokus dan hala tuju yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, pihaknya turut menggariskan 11 keutamaan yang akan direncanakan secara jelas dan strategik.
“Lima fokus utama itu adalah memperkasa kompetensi berasaskan industri; meneroka translational research; memperhebat program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
“Bagi fokus keempat pula adalah untuk mempergiat pengantarabangsaan dan terakhir untuk mengupayakan ekosistem pemboleh daya TVET POLYCC,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Tahun 2024, baru-baru ini.
Mengenai 11 keutamaan pula, Mohd Zahari berkata, terdapat empat keutamaan yang ditetapkan melalui fokus pertama untuk mencapai sasaran memperlengkapkan graduan POLYCC dengan set kemahiran dan kompetensi terkini yang diperlukan oleh industri.
“Ia merangkumi Work-Based Learning (WBL) dan Structured Internship Programme (SIP); Reskilling and Upskilling pekerja industri; kemahiran industri pensyarah serta pembentukan atribut pelajar.
“Saya percaya kita sudah cukup pengalaman dalam mengendalikan WBL yang mana penawaran tujuh program peringkat ijazah sarjana muda dan tujuh program peringkat diploma bagi mod WBL dilaksanakan dengan jayanya.
“Begitu juga SIP, sehingga kini politeknik telah bekerjasama dengan 25 industri bagi menjalankan SIP. Seramai 6,142 graduan telah menyertai program ini di mana seramai 1,673 orang daripadanya telah ditawarkan bekerja,” katanya.
Mohd Zahari berkata, sasaran pada tahun ini membabitkan lebih banyak penglibatan industri dalam pelaksanaan WBL dan SIP.
“Ketiga pula Reskilling and Upskilling Pekerja Industri turut akan diperluas bagi meningkatkan kemahiran serta kompetensi pekerja industri terutamanya dalam aspek yang dilihat ketinggalan susulan revolusi serta anjakan teknologi,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Mohd Zahari berkata, rancangan penubuhan dan pengoperasian Reskilling and Upskilling Centre (RUC) di 16 buah politeknik perlu diteliti supaya peranannya lebih jelas.
RUC bakal menawarkan pakej program latihan kepada pihak industri menggunakan pendekatan Time Sector Privatisation (TSP) di mana projek rintis ini bakal melibatkan seramai 3,000 pekerja industri yang akan dilatih secara berperingkat.
Antara keutamaan lain adalah program latihan dan pensijilan profesional berorientasikan industri; pembentukan atribut pelajar di mana generasi kini menjadi digital natives; meneroka translational research; memperhebat program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui penawaran pelbagai program microcredentials bersifat jangka pendek bagi membolehkan sesiapa sahaja di luar sana menambah kelayakan diri; Program Mobiliti Inbound untuk menambahbaik pengurusan pelajar antarabangsa di politeknik; model draf Rang Undang-Undang (RUU) bagi politeknik dan kolej komuniti serta mempraktikkan Lean Quality Management System agar sistem pengurusan dan pengoperasian menjadi lebih cekap dan berkesan.
Pemacu tenaga mahir
Sementara itu, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Ulaimi Yahya berkata, Aspirasi Ketua Pengarah untuk menjadikan POLYCC sebagai pemacu tenaga mahir dalam negara perlu dihayati dan dipacu sebaiknya.
“Ia selaras lima fokus serta 20 landasan hala tuju KPT 2024 yang telah diumumkan oleh YAB Menteri KPT. Berasaskan konsep Isomorphic Mimicry pendekatan pelan tindakan PIS adalah selari dengan pelan Halatuju Transformasi Politeknik 2023-2030.
“Saya bersama pasukan PIS telah pun membangunkan Pelan Strategik PIS selaras hala tuju KPT dan Pelan Transformasi Politeknik 2.0.
"Kita telah merangka KPI dan aktiviti yang menekankan 13 agenda pembaharuan kritkal (CRA), dan inisiatif-inisiatif pembaharuan berstrategik melalui 18 objektif dalam melaksanakan project high impact,” katanya.
Katanya, PIS kini telah melaksana dan menggerakkan secara aktif kolaborasi bersama industri, mengadakan perbincangan yang strategik untuk memperkasakan WBL dan telah mewujudkan sebuah unit yang memberi tumpuan khas ke arah nilai tambah kemahiran serta kebolehpasaran iaitu Politeknik Ibrahim Sultan Reskilling Upskilling Centre (PISRUC).
“Semoga melalui tindakan ini akan dapat mencapai sasaran memperlengkapkan lagi nilai tambah graduan POLYCC dengan set kemahiran dan kompetensi terkini yang diperlukan oleh industri dan mencapai 4 matlamat transformasi Politeknik dalam mencapai ciri-ciri Politeknik Malaysia menjelang 2030,” katanya.
Bagi Pengarah Kolej Komuniti Selayang (KKSY), Dr Noriah Abdul Malek, KKSY mendokong aspirasi ini yang dilihat selari dengan misi dan visi POLYCC dalam kemenjadian pelajar dan komuniti setempat.
“Usaha sebegini adalah untuk menyediakan pelajar dan komuniti berkualiti yang mampu meningkatkan daya saing serta membina pertumbuhan ekonomi mampan.
“Lima fokus JPPKK bagi tahun 2024 merupakan Game Changer dan ini adalah peluang keemasan bagi setiap institusi di bawah POLYCC dalam mentranformasi TVET Madani.
“Semangat Koordinasi, Kolaborasi dan Kerjasama serta melaksanakan tugas tanpa ‘tapi’, lakukan tanpa ‘nanti’ dalam kalangan warga POLYCC, disamping sokongan berterusan dari pelbagai pihak terutama pemain industri mampu memacu POLYCC kekal relevan dan dinamik,” katanya.