Persekutuan Pengakap Malaysia, USM meterai MoU majukan dunia pengakap negara

AZLEENDA SAHALUDIN
09 Mar 2023 04:38pm
A
A
A

Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) mengambil inisiatif dalam meningkatkan prestasi pengurusan dan pentadbiran yang menyentuh aspek-aspek berkaitan polisi, penulisan, penerbitan serta penyelidikan melalui kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM).

Kerjasama ini dijalankan melalui majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai baru-baru ini sebagai langkah untuk terus memajukan dunia pengakap dalam negara.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Ir Abdul Rahman Mohamed, kerjasama tersebut merupakan salah satu sejarah bagi USM di mana buat julung kalinya sebuah universiti awam mengadakan kolaborasi pintar secara profesional dan ilmiah dengan PPM.

“Melalui perkongsian pintar dan kerjasama melalui CenPRIS ini, saya berharap akan membuahkan hasil positif dan berjaya memenuhi hasrat serta matlamat untuk pembangunan PPM.

“USM juga bersedia membantu PPM dalam apa jua bidang kepakaran yang diperlukan khususnya kepada kumpulan sasar iaitu ahli dan pemimpin yang amat memerlukan tahap kreativiti dan inovasi tinggi bagi membanggakan semua pihak termasuklah ibu bapa, masyarakat dan negara,” katanya yang ditemui pada majlis menandatangani MoU antara PPM dan CenPRIS, di Bilik Persidangan Canselori USM.

Majlis tandatangan MoU itu telah disempurnakan bersama Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejas Jeneral Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin yang disertai Pengarah CenPRIS, Profesor Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk dan Pengarah Akademi Pengakap Negara PPM, Profesor Madya Dr Abdul Rashid Mohamad.

Sementara itu, Mohd Zin dalam ucapannya memberitahu, PPM telah membuat pilihan tepat dengan mengadakan kolaborasi bersama USM sebagai sebuah universiti APEX yang juga merupakan antara universiti penyelidikan yang terunggul dalam negara.

Beliau menambah, kolaborasi pintar berkenaan akan memfokuskan tiga aspek utama iaitu meningkatkan integriti dan prestasi pengurusan serta pentadbiran polisi dan undang-undang PPM yang sedia ada; mengadakan kerjasama penyelidikan dan kajian impak terhadap program di peringkat kebangsaan serta antarabangsa; dan mengadakan kerjasama penyelidikan dan kajian impak terhadap program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok