POLIMAS menang besar di IPITEx 2023, baru-baru ini.
POLIMAS menang besar di IPITEx 2023, baru-baru ini.

POLIMAS rangkul emas dan anugerah khas di IPITEx 2023

ROSHLAWATY MD RAIEH
16 Feb 2023 06:06pm
A
A
A

Dua projek inovasi yang dihasilkan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) merangkul pingat emas pada Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx 2023) - Thailand Inventors Day 2023, baru-baru ini.

Inovasi hebat yang dihasilkan sepasukan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, POLIMAS itu adalah Smart Agua Pond dan Econic Waste Water Filter.

Menurut Ketua Pasukannya, Noor Liza Ramli, Smart Agua Pond adalah inovasi kolam pintar yang merangkumi sistem solar, mesin pemberi makanan ikan dan udang serta penapis air berkonsepkan hijau.

Manakala Econic Waste Water Filter pula inovasi serat batang pisang sebagai bahan utama yang digunakan dalam penapis air sisa yang dipasang dibawah sinki dapur bagi menyerap minyak dan lemak.

Sambung Noor Liza, kemenangan yang diraih itu begitu bermakna kepada seluruh warga politeknik.

“Ia menjadi bukti pensyarah POLIMAS mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pensyarah dari universiti dalam dan luar negara,” ujarnya.

Selain Noor Liza, terdapat beberapa lagi pensyarah lain yang turut menyumbang idea dalam dua inovasi berkenaan.

Mereka yang dimaksudkan ialah Mohd Nazly Zamri Ahmad Mokhtar, Sharina Abdul Latiff, Nur Ashikin Lakman, Hayazi Hanafi dan Hamizi Yahaya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, POLIMAS turut menerima dua anugerah khas dari Hong Kong dan National Research Council of Thailand (NRCT) menerusi inovasi Econic Portable Water Dispencer dan Projek BiofP’mas.

Selain itu, politeknik ini juga memperoleh dua pingat perak dari inovasi Smart CM dan RDRAINB Trap serta tujuh gangsa menerusi WDRAIN Trap, BiofP’mas, Savcon, Econic Portable Dispencer, P’Mas House, Smart Tourism Map Baling dan Flash Delineator.

Dalam pada itu, Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud berkata, kejayaan tersebut adalah satu penghargaan dan pengiktirafan besar kepada politeknik yang terletak di Jitra, Kedah.

“Syabas dan tahniah kepada pensyarah yang terlibat kerana berjaya menaikkan imej POLIMAS di peringkat antarabangsa,” akhirinya.

INFO

  • IPITEx 2023 merupakan acara tahunan melibatkan inventor dari seluruh dunia. Ia berlangsung di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC), Bangkok, Thailand dan mempertandingkan 469 inovasi dari 24 buah negara seluruh dunia.
  • Pertandingan tersebut menyediakan platform untuk mendapat pengiktirafan bagi projek inovasi, memperkenalkan projek kepada syarikat luar dan sebagainya.
  • Pengarah Eksekutif NRCT, Dr Wiparat De-ong menyampaikan pingat dan sijil kepada para pemenang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok