Pensyarah Utama Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Mohd Jalil Ahmad (kiri) memberi penerangan kepada penuntutnya pada sesi pembelajaran di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pensyarah Utama Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Mohd Jalil Ahmad (kiri) memberi penerangan kepada penuntutnya pada sesi pembelajaran di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

Politeknik Port Dickson diiktiraf institusi TVET terbaik Asia Pasifik, hebatnya!

14 Nov 2024 09:01am

Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan diiktiraf sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengiktirafan platinum yang diterima itu amat membanggakan kerana APACC adalah badan akreditasi yang dihormati di rantau Asia Pasifik khususnya dalam bidang TVET.

"Pengiktirafan daripada APACC bukan sahaja melambangkan kualiti dan keunggulan pendidikan yang ditawarkan, tetapi juga membawa makna bahawa standard institusi kita kini diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berharap agar pencapaian yang diperoleh Politeknik Port Dickson itu menyuntik semangat dan inspirasi kepada semua institusi TVET di negara ini untuk terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.

"Syabas dan tahniah kepada Politeknik Port Dickson! I'm really proud of this. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk kita terus maju dalam membina masa depan yang lebih gemilang.Insya-Allah," katanya.

Hasan Mohd Sharif menunjukkan Sijil Pengiktirafan APACC yang diperolehi Politeknik Port Dickson.
Hasan Mohd Sharif menunjukkan Sijil Pengiktirafan APACC yang diperolehi Politeknik Port Dickson.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Port Dickson, Hasan Mohd Sharif berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan institusi tersebut dalam membangunkan kerjasama strategik dengan pelbagai industri multinasional sekali gus mempersiapkan siswazah yang kompeten dan berdaya saing.

Beliau berkata, kejayaan itu didorong oleh penubuhan Centre for Electrical, Energy, Technology and Services (CENTS) yang membuktikan komitmen institusi tersebut dalam menyelaraskan program strategik terkandung dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Artikel Berkaitan:

"Selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani, Politeknik Port Dickson menyokong pembangunan ekonomi inklusif, mampan dan kompetitif dengan program-program yang memenuhi permintaan industri dan perkembangan teknologi semasa.

"Dengan kadar kebolehpasaran siswazah mencapai 96 peratus pada 2023 dan sasaran 97 peratus menjelang akhir tahun ini, PPD berada di landasan yang kukuh untuk terus meningkatkan peluang pekerjaan bagi lepasan politeknik itu," katanya.

Beliau berkata lagi, antara rakan industri menjadi penyumbang kepada pencapaian ini ialah HINO (Malaysia), KNX Skills Development Centre Sdn Bhd (KSDC), Global Academia Sdn Bhd (GASB), Fixbay Academy Sdn Bhd, Solarvest Holdings Berhad, SIGTECH Engineering Sdn Bhd dan Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC).

No Image Caption

Pembelajaran sepanjang hayat

CENTS katanya, menjadi penanda aras bagi institusi TVET lain dalam aspek peningkatan kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Pasifik.

Hasan berkata, CENTS menawarkan lapan kluster utama menumpukan kepada kemahiran kritikal diperlukan industri masa kini dengan membantu graduan meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja.

Beliau berkata melalui Pusat Reskilling dan Upskilling (RUC) bermodelkan CENTS, ia akan membantu menyediakan peluang pembelajaran kepada pekerja dewasa melalui pendekatan kolaboratif dengan industri.

"Semasa pelancaran RUC, seramai 13 pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, PPD dianugerahkan Sijil Basic KNX dan KNX Partner daripada KNX Association Belgium, iaitu pengiktirafan global dalam bidang teknologi automasi bangunan.

"Pencapaian ini memperkukuh status APACC Platinum yang diperoleh PPD, menunjukkan komitmen institusi ini dalam memenuhi piawaian pendidikan TVET bertaraf antarabangsa," katanya.

No Image Caption

Dalam pada itu, Hasan berkata perancangan jangka panjang Politeknik Port Dickson adalah untuk menjadi institusi bertaraf premier, berasaskan industri dan komuniti, serta institusi yang berasaskan penyelidikan.

Tambahnya, usaha ini memperkukuh peranan PPD dalam memacu agenda TVET MADANI bagi melahirkan siswazah kompeten dan bersedia untuk menyumbang dalam sektor industri berasaskan teknologi serta ekonomi mampan masa depan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp