Sebahagian krew penganjur Program Kesedaran Hak Kanak-Kanak di SK Kindu baru-baru ini.
Sebahagian krew penganjur Program Kesedaran Hak Kanak-Kanak di SK Kindu baru-baru ini.

Progam kesedaran bantu ibu bapa ketahui hak kanak-kanak

29 Jul 2023 10:48pm
A
A
A

Ibu bapa merupakan insan yang paling penting dalam kehidupan kanak-kanak.

Mereka mempunyai amanah dan tanggungjawab besar untuk mengasuh, menjaga dan mendidik kanak-kanak sejak di awal usia lagi.

Namun begitu, acap kali kita terdengar tentang isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang terus berlaku sejak sekian lama.

Isu penderaan ini ibarat ‘hangat-hangat tahi ayam’, hanya menjadi tumpuan seketika namun tiada solusi atau jalan penyelesaiannya.

Jika hal ini berterusan sudah pasti yang menjadi mangsa keadaaan ialah kanak-kanak itu sendiri dan mereka akan terus terabai tanpa pembelaan yang wajar daripada pihak berkuasa.

Atas keperihatinan hak kanak-kanak, mahasiswa Kelab Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diketuai Muhammad Ehsan Kamba (Pengarah Program) dan Saleha Mohd Firdaus (Timbalan Pengarah Program) telah menganjurkan Program Kesedaran Hak Kanak-Kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kindu, Tuaran, Sabah pada 22 Jun lalu.

Sepanjang program berlangsung, peserta yang terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti bermanfaat seperti ceramah keibubapaan, sesi pengajaran dan pembelajaran serta sukaneka.

Menurut Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS, Dr Juppri Bacotang, progam Kesedaran Hak Kanak-kanak bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya ibu bapa tentang hak si kecil.

Artikel Berkaitan:

“Pendidikan merupakan salah satu hak yang perlu diberikan kepada semua kanak-kanak demi menjamin masa depan mereka.

“Ia perlu bermula daripada kecil sama ada dari rumah, taska, tadika atau prasekolah.

“Pendidikan awal ini sangat penting kerana dapat membantu kanak-kanak menguasai 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) sebagai asas persediaan sebelum ke sekolah rendah,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

No Image Caption

Sementara itu, slot ceramah keibubapaan telah disampaikan dua wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Negeri Sabah iaitu Mohd Irsyad Hamilin dan Qalista S Dohny.

Isi kandungan ceramah berkisar tentang hak kanak-kanak yang merangkumi kehidupan, perlindungan, perkembangan dan penyertaan.

Selain itu, maklumat dan pengetahuan perundangan di Malaysia mengenai perlindungan kanak-kanak seperti yang termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001 turut disalurkan kepada orang ramai dalam program berkenaan.

Dalam pada itu, aktiviti kraf diorama bertemakan hidupan laut bersama kanak-kanak turut dilaksanakan oleh penuntut Tahun Tiga (Semester Enam), Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Penglibatan bersama ibu bapa dan juga kanak-kanak turut diadakan seperti acara telefon rosak, meniup belon dan menghasilkan bentuk jalan raya dalam usaha merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

Melihatkan kepada pelbagai aktiviti yang dianjurkan, Sinar Bestari yakin ia dapat memberi keseronokan kepada peserta, memupuk kerjasama dan hubungan mesra dalam kalangan ibu bapa, kanak-kanak dan mahasiswa.

Selain itu, ia turut memenuhi salah satu hak kanak-kanak iaitu hak penyertaan yang membolehkan kanak-kanak bertemu, bergaul dan berkawan dengan rakan seusia lain.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok