Sehingga kini, program Jelajah Jalinan Mesra (JJM) UNITEN telah berlangsung sehingga Siri 4 di lokasi di negeri Pahang.
Sehingga kini, program Jelajah Jalinan Mesra (JJM) UNITEN telah berlangsung sehingga Siri 4 di lokasi di negeri Pahang.

Program Jelajah Jalinan Mesra UNITEN bantu 55 anak yatim dan asnaf Pahang bina keyakinan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
11 Aug 2023 09:36am

Budaya kesukarelawan dilihat makin mendapat perhatian dalam kalangan mahasiswa.

Ini kerana ia bukan sahaja mampu meningkatkan tahap pencapaian penuntut dari segi kurikulum dan kokurikulum tetapi turut menyemai rasa tanggungjawab tinggi dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Menyedari akan kepentingan aspek kesukarelawan tersebut, mahasiswa dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Business School, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang mengambil inisiatif meneruskan program Jelajah Jalinan Mesra (JJM) Siri 3 dan Siri 4 di dua tempat berasingan iaitu di Baitul Husna, Kuantan, Pahang (JJM Siri 3) dan Pusat Jagaan Chahaya, Kuantan, Pahang (JJM Siri 4) baru-baru ini.

Program yang membabitkan seramai 55 anak yatim dan asnaf dari Pahang itu adalah kesinambungan dari JJM Siri 1 dan Siri 2 yang telah diadakan di Muadzam Shah, Rompin, dan Pekan, Pahang tahun lalu.

Menurut Pengarahnya, Nur Fatin Syuhada Nurkhairulnizam, 20, program yang berlangsung selama dua hari itu telah mendapat maklum balas positif dalam kalangan peserta yang berumur antara 9 hingga 17 tahun.

No Image Caption

“Alhamdulillah, mereka memberi reaksi baik malah kerjasama yang ditunjukkan sepanjang aktiviti berlangsung wajar dipuji.

“Sebagai contoh, semua peserta begitu aktif, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan cabaran yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, mereka juga berani dan saling tolong-menolong ketika mengikuti latihan dalam kumpulan,” ujarnya.

Nur Fatin berkata, seramai 15 mahasiswa Tahun Tiga, Ijazah Perakaunan UNITEN; alumni UNITEN dan pensyarah telah terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Kami telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada para peserta sepanjang dua hari program berlangsung.

“Antara aktiviti yang diadakan ialah Morning Exercise, Dream Team, Charade, Build the Castle, Floor is Lava, A4 in Circle, Tic Tac Toe dan Assemble the Knot.

“Ceramah motivasi bertajuk ‘Pilihan dalam Menelusuri Ranjau Kahidupan’ yang disampaikan alumni UNITEN, Dr Zulkefli Muhamad Hanapiyah turut mengisi slot aktiviti kali ini,” jelasnya dengan menambah program JJM berkenaan telah mendapat sokongan penuh dan tajaan daripada Yayasan Canselor UNITEN (YCU) dan Syafiqsuhaimi & Co.

Antara aktiviti yang disertai para peserta menerusi JJM kendalian 15 mahasiswa Tahun Tiga, Ijazah Perakaunan UNITEN; alumni UNITEN dan pensyarah.
Antara aktiviti yang disertai para peserta menerusi JJM kendalian 15 mahasiswa Tahun Tiga, Ijazah Perakaunan UNITEN; alumni UNITEN dan pensyarah.

Sementara itu, Penasihat Program, Nurul Nadiah Ahmad, melahirkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai program bermanfaat itu.

“Apa yang saya lihat, kesemua JJM yang dianjurkan mampu membentuk landasan hubungan antara mahasiswa, alumni UNITEN dan komuniti yang terlibat.

“Dalam masa sama, kita dapat melengkapkan mahasiswa UNITEN dengan ilmu-ilmu personaliti yang unggul supaya mereka mempunyai kekuatan jati diri dan sikap kepimpinan untuk sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Perakaunan dan Kewangan UNITEN.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp