Uniten KSHAS ke arah inovasi pendidikan masyarakat Pahang
Dalam tekad mencapai keunggulan akademik, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ingin berkongsi perkembangan terkini di Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS), Muadzam Shah, Pahang.
Sebagai institusi yang komited kepada peningkatan kualiti pendidikan, KSHAS sekali lagi melangkah ke hadapan dengan pelbagai inisiatif iaitu penawaran dua kursus diploma baharu iaitu Diploma Teknologi Kewangan (Diploma in Financial Technology) dan Diploma Perniagaan Digital (Diploma in Digital Business).
Uniten juga sedang menjalankan kajian untuk memperkenalkan lebih banyak program yang relevan dengan industri serta memulakan program pengajian dalam bidang TVET di KSHAS.
Uniten terus menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi di bandar Muadzam Shah melalui pendidikan tinggi.
Selain itu, pihak pengurusan KSHAS sedang berbincang dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menjadikan Uniten KSHAS sebagai pusat yang diiktiraf (Accredited Centre) yang menawarkan pelbagai pengiktirafan TVET.
Langkah itu diharapkan akan menambah kakitangan, meningkatkan bilangan pelajar dan memberi sumbangan kepada perkembangan ekonomi komuniti setempat dengan sasaran jumlah pelajar keseluruhan antara 1,500 hingga 2,000 orang.
Sepanjang tahun 2023, KSHAS meraih beberapa kejayaan cemerlang antaranya Mohamad Luqman Al-Hafiz dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023, sementara empat pelajar menerima Geran Youngpreneur @YTC UCYP, menonjolkan kecemerlangan dalam keusahawanan dan memperkukuh pengiktirafan Uniten sebagai pemangkin pembangunan usahawan muda.
Prestasi pelajar Tahfiz Uniten dalam Tilawah Hafazan Al-Quran menambah kepelbagaian bakat di KSHAS.
Pensyarah seperti Profesor Datuk Dr Salina Daud menerima Geran Penyelidikan Selangor untuk kajian 'Sustainable Energy Efficiency' dan Siti Fara Fadila Abd Razak meraih tiga anugerah di Malaysia Technology Expo (MTE) Sustainable Energy & Green Technology International Innovation Awards 2023, meningkatkan reputasi KSHAS sebagai pusat pendidikan berkualiti.
Masdiah Abdul Hamid dan Wan Farhah Shafiy dari Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan memenangi pingat emas di Inovasi23, mencerminkan kecemerlangan pensyarah KSHAS dalam penyelidikan dan inovasi serta meningkatkan reputasi sebagai pusat pendidikan berkualiti.
KSHAS aktif terlibat dalam pelbagai program sukarela yang memberikan sumbangan kepada masyarakat terutamanya di Pahang.
Penglibatan ini termasuk inisiatif bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rompin untuk membantu mangsa banjir, penyertaan 40 pelajar KSHAS bagi program Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) sempena Hari Belia Negeri Pahang dan penganjuran Majlis Penyampaian Komputer Riba Pahang Pride Orang Asli dan pemberian Insentif Perkahwinan Pertama kepada Orang Asli.
Penglibatan dan usaha KSHAS secara tidak langsung membuktikan Uniten tidak hanya memberi fokus kepada pelajar tetapi turut membabitkan komuniti di Pahang dalam program dilaksanakan sebagai keprihatinan universiti dengan masyarakat setempat.
Selain itu, KSHAS turut menganjurkan Majlis Ramah Mesra Uniten KSHAS bersama Exco Felda, Koperasi dan Keusahawanan Pahang bersama Pemimpin-Pemimpin Setempat dan juga Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa Orang Asli Uniten KSHAS.
Inisiatif ini menjadi platform untuk berinteraksi dan berkongsi pandangan mengenai pembangunan komuniti setempat.
Semua aktiviti ini mencerminkan komitmen KSHAS dalam memberikan impak positif kepada masyarakat dan menjalin hubungan yang erat dengan pemimpin tempatan serta pihak berkuasa.