No Image Caption

Program Pancaran Siswa didik pelajar berintelektual, luar biasa dan serba boleh

AZLEENDA SAHALUDIN
29 Mar 2023 11:20am
A
A
A

Pendidikan secara holistik perlu diterapkan kepada setiap pelajar agar mereka berupaya mencapai potensi diri di samping mampu menguasai pengetahuan, kemahiran dan berakhlak mulia.

Ia bertujuan melahirkan lebih ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi turut memenuhi ciri-ciri aspirasi negara iaitu mempunyai kemahiran memimpin; kemahiran dwibahasa; kemahiran berfikir dan berpengetahuan; beretika; kerohanian serta mempunyai identiti nasional.

Melihat kepada usaha berkenaan, International College of Yayasan Melaka (ICYM) telah mengambil pendekatan dengan menganjurkan Program Pancaran Siswa 2023 melibatkan pelajar khususnya di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pengarah program, Muhammad Taufik Abd Latif berkata, program tersebut diadakan bagi membentuk pelajar yang berintelektual dan berfikiran matang agar menjadi seseorang yang luar biasa dan serba boleh.

Beliau memberitahu, matlamat program ini juga adalah untuk mengembangkan potensi diri pelajar dan mampu menggunakannya secara maksimum.

“Program ini diadakan bagi mendidik dan membimbing pelajar agar dapat berfikir serta bertindak sebagai seorang yang cemerlang di samping beradab bersesuaian dengan slogan program ini ‘rela dipimpin untuk memimpin dan rela dibimbing untuk membimbing’.

“Sepanjang program ini berlangsung pelbagai aktiviti diadakan bagi melatih mereka bekerja dalam kumpulan, membentuk disiplin diri dan melahirkan pelajar yang berketerampilan unggul.

“Malah ia juga membuka peluang kepada mereka untuk berbincang dengan pensyarah masing-masing dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim dan impak aktiviti sebegini mampu memberi kesedaran serta meningkatkan jati diri pelajar yang hebat,” ucapnya pada majlis perasmian Program Pancaran Siswa 2023 di International Agrotourism Sungai Rambai (Kem Modal Insan), Melaka, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Selain cemerlang akademik, pelajar juga perlu diterapkan nilai murni melalui aktiviti khidmat masyarakat.
Selain cemerlang akademik, pelajar juga perlu diterapkan nilai murni melalui aktiviti khidmat masyarakat.

Program yang dirasmikan oleh Naib Presiden Akademik ICYM, Jasmy Fardzy Abdul Aziz telah berjalan selama dua hari bermula 18 hingga 19 Mac lalu, melibatkan seramai 144 pelajar di bawah tajaan JPA serta 23 ahli ahli jawatankuasa yang terdiri daripada kalangan pensyarah ICYM.

Sementara itu, salah seorang peserta program Nur Amirah Rashid memberitahu, program sebegini dapat membantu menghilangkan tekanan selain memberikan motivasi dan perubahan positif dalam diri seseorang pelajar.

“Saya amat tertarik dengan aktiviti yang melibatkan khidmat masyarakat kerana ia mampu mewujudkan hubungan yang lebih mesra antara pelajar dan masyarakat setempat.

“Saya juga berharap supaya program sebegini akan diadakan pada masa akan datang,” ujarnya.

Sesi riadah pelajar Program Pancaran Siswa.
Sesi riadah pelajar Program Pancaran Siswa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok