Sebahagian peserta yang mengikuti program 'Prihatin Bersama' di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Sebahagian peserta yang mengikuti program 'Prihatin Bersama' di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Program ‘Prihatin Bersama’ UiTM bantu masyarakat setempat di Indonesia

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
25 May 2023 05:13pm

Program ‘Prihatin Bersama’ memfokuskan kepada pemindahan dan perkongsian ilmu berkaitan pergigian dalam kalangan pakar dan para penuntut dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Seramai 14 wakil Malaysia yang terdiri daripada warga Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) terpilih mengikuti program tersebut yang diadakan di Fakultas Kedokteran Pergigian, Universitas Indonesia, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Wakil UiTM terdiri daripada dua pakar iaitu Pakar Pergigian Penjagaan Khas, Profesor Madya Dr Mas Suryalis Ahmad dan Pakar Pergigian Pediatrik, Dr Azwin Assilah Kamaruddin; enam pelajar pasca siswazah, empat penuntut sarjana muda dan dua alumni pergigian.

Program yang berlangsung selama 15 hari itu menerima pembiayaan melalui Geran Alumni UiTM dan sumbangan daripada Colgate dan International College of Dentists.

No Image Caption

Selain melibatkan pemindahan dan perkongsian ilmu antara Malaysia dan Indonesia, program itu juga menyediakan khidmat komuniti kepada masyarakat setempat demi memperkasakan profesion doktor gigi di Indonesia.

Menurut Penasihat Program, Mas Suryalis, ‘Prihatin Bersama’ telah melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang 15 hari ia berlangsung.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah bengkel Pergigian Penjagaan Khas dan aktiviti Kesihatan Pergigian yang diadakan di tiga pusat kebajikan terpilih sekitar Jakarta, Indonesia iaitu Yayasan Sayap Ibu Barito, Yayasan Sayap Ibu Menteng Wadas dan Rumah Ceria Down Syndrome (POTADS).

Artikel Berkaitan:

“Setiap slot berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas yang cukup positif dalam kalangan peserta,” ujar Mas Suryalis.

No Image Caption

Sementara itu, Ketua Umum Yayasan Sayap Ibu Jakarta, Ibu Tjondrowati Subiyanto berkata, kira-kira 300 kanak-kanak dan individu berkeperluan khas turut mendapat manfaat melalui program berkenaan.

Malah beliau mengharapkan usaha murni itu dapat diteruskan pada masa akan datang demi memperjuangkan hak individu berkeperluan khas dalam mendapat akses kepada perkhidmatan pergigian profesional.

Bagi Pengurus Program dari Universitas Indonesia, Dr Melissa Adiatman, beliau mengharapkan program tersebut akan terus dikembangkan dan menjadi inspirasi kepada institusi lain untuk melaksanakan inisiatif yang sama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp