Sebahagian murid SK Kemabong yang menerima bantuan peralatan sekolah disampaikan rombongan FOL di Tenom.
Sebahagian murid SK Kemabong yang menerima bantuan peralatan sekolah disampaikan rombongan FOL di Tenom.

Program agih peralatan sekolah bantu tingkatkan kehadiran murid di pedalaman

ASYIKIN ASMIN
30 Jan 2024 05:54pm
A
A
A

Prihatin dengan nasib murid di kawasan pedalaman yang serba kekurangan membuatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tampil menyalurkan bantuan peralatan sekolah kepada 2,490 murid sekitar Tenom dan Nabawan, Sabah.

Program kolaborasi Forces Of Love (FOL-Educare) bersama Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dilihat berjaya meningkatkan kehadiran murid ke sekolah terutama di kawasan pedalaman.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kemabong, Tenom, Sabah, Cikgu Mohd Azlan Mohd Arfan Salim, 52 berkata, kesemua bantuan yang diberikan memberi manfaat kepada murid-murid terlibat.

"Banyak bantuan bahan pembelajaran telah diberi sejak tahun 2023 untuk kegunaan anak-anak didik sekali gus membantu meningkatkan kehadiran mereka.

Murid dari SK Gumisi antara penerima bantuan peralatan sekolah.
Murid dari SK Gumisi antara penerima bantuan peralatan sekolah.

"Jika dahulu kita hanya mencapai 60 peratus sahaja tetapi untuk 2023, kita mencapai tahap 88 peratus iaitu hampir mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) JPN Sabah,” ujarnya pada sesi penyerahan peralatan sekolah, baru-baru ini.

Sementara itu, Cikgu Mohd Azlan merakam penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam program tersebut.

"Terima kasih atas sokongan dan bantuan pasukan FOL-Educare, mudah-mudahan kolaborasi ini dapat diteruskan masa hadapan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Selain bantuan peralatan sekolah, Cikgu Mohd Azlan berkata, pihaknya turut memberi penekanan kepada program penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid di pedalaman.

Terdahulu, sebanyak 13 buah sekolah telah dipilih FOL-Educare bagi tujuan pengagihan peralatan sekolah.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tomani membabitkan 78 murid, SK Tilis (46 murid), SK Kungkular (91), SK Kuala Tomani (556), SK Gumisi (146) dan SK Kemabong (480).

Turut serta SK Masanoi 166 murid, SK Bamban (103), SK Inubai (182), SK Saga (158), SK Batu Tiningkang (242), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phui Ying (91) dan SK Tetagas, Nabawan (160).

No Image Caption

Menerusi program ini, murid-murid telah menerima peralatan sekolah antaranya beg sekolah, pakaian seragam sekolah, kasut, stoking, alat tulis, pensil warna, baju hujan, botol air, kamus dwibahasa dan set geometri.

Dalam pada itu, pemilihan 13 sekolah dilakukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tertakluk kepada garis panduan disediakan.

Garis panduan tersebut memerlukan setiap sekolah memenuhi syarat sekurang-kurangnya 85 peratus terdiri daripada keluarga murid golongan B40.

Purata kos bagi seorang murid sebanyak RM180 dan anggaran keseluruhan perbelanjaan adalah RM448,200.

Bagaimanapun, kos pasukan sukarelawan termasuk penerbangan dari Semenanjung dan pengangkutan di Sabah adalah tanggungan peribadi rombongan.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok