PSMZA sedia kelengkapan raya buat anak yatim
Ketibaan bulan Ramadan sering ditunggu-tunggu seluruh umat Islam yang mana ia merupakan bulan penuh pengampunan dan mendapat pahala amalan berlipat kali ganda.
Selain ibadah utama seperti puasa, solat sunat tarawih, tadarus al-Quran, sedekah juga menjadi amalan yang sangat mulia terutama buat mereka yang sentiasa berinfak bagi tujuan ihya’ Ramadan.
Perkara itu dapat dilihat dengan penganjuran Program Selaut Kasih Seindah Harapan anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).
Menerusi program itu, seramai 11 orang anak yatim dari Asrama Pra-Tahfiz Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA) Daerah Dungun dan 10 orang pelajar kategori kurang berkemampuan dari PMSZA diraikan dengan disediakan pakaian hari raya di Gedung Tekstil, Jakel Kuantan.
Pengerusi PUSPANITA PSMZA juga merangkap Pengarah PSMZA, Zamra Derahman berkata, program meraikan anak-anak yatim juga para pelajar yang kurang berkemampuan ini sudah menjadi antara program utama di PSMZA terutama apabila menjelang bulan Ramadhan.
“Kita memilih PERKAYA sebagai antara target kelompok untuk kita raikan kerana kita mahu mereka juga dapat merasa moment membeli dan memilih baju raya sendiri seperti anak-anak yang lain.
“Mereka yang kita raikan ini kelihatan sangat ceria dan gembira apabila diberi peluang untuk memilih sendiri pakaian hari raya mereka di Jakel,” katanya.
PERKAYA ditubuhkan sebagai satu badan yang memayungi kebajikan anak-anak yatim disamping mengurangkan beban keluarga terutama ibu-ibu tunggal yang mempunyai kekangan dalam membesarkan anak-anak mereka bersendirian.
Hadir sama bagi meraikan anak-anak yatim dan pelajar ini, pemilih Gedung Jakel Kuantan, Suhaimi Abdul Aziz dan isteri yang turut berbesar hati menyampaikan sumbangan duit raya.
Dalam pada itu, sepanjang Ramadan juga PSMZA melalui setiap unit dan Jabatan turut menaja juada berbuka puasa kepada semua pelajar yang tinggal di asrama.
Inisiatif ini dibuat dengan hasrat kebajikan setiap pelajar asrama terjaga tatkala berjauhan dengan keluarga disamping mengimarahka lagi Pusat Islam, PSMZA.