Risau masa depan pelajar tidak hadir peperiksaan SPM 2023
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 telah diumumkan pada 27 Mei 2024.
Pengumuman ini mencetuskan pelbagai spekulasi daripada warga media sosial yang risau akan masa depan 10,160 pelajar yang tidak menghadiri peperiksaan SPM.
Spekulasi timbul mengatakan bahawa anak muda kini tidak lagi memandang SPM sebagai peperiksaan yang penting kerana mereka lebih ingin menjadi pempengaruh.
Ia dipercayai berpunca daripada kecenderungan sesetengah warga pengguna media sosial untuk mengulas tanpa memeriksa maklumat daripada sumber yang sahih.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 10,160 calon SPM 2023 tidak menghadiri peperiksaan tersebut.
Alasan yang diberikan termasuk ada antara mereka yang sudah bekerja, berkahwin, sakit, ditimpa musibah atau ditimpa bencana alam.
Dalam situasi ini, KPM dilaporkan komited mencari jawapan di sebalik apa yang berlaku, menunjukkan keprihatinan terhadap masa depan calon-calon lepasan SPM.
Ia penting kerana syarat minimum untuk kebanyakan pekerjaan di Malaysia adalah memiliki kelulusan SPM. Namun begitu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2023 berjaya dikurangkan sebanyak 1.2 peratus berbanding tahun lepas.
Situasi itu menunjukkan peningkatan yang baik dan membuktikan bahawa para calon semakin menyedari kepentingan peperiksaan SPM.
Selain penurunan peratus ketidakhadiran, lepasan calon SPM 2023 telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.
Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) meningkat kepada 4.60, berbanding 4.74 pada 2022, dengan sebanyak 11,713 daripada 373,525 calon memperoleh gred semua A.
Oleh itu, calon-calon SPM haruslah bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan ini pada masa akan datang.
Ibu bapa dan guru-guru perlulah sentiasa memberikan semangat kepada pelajar agar tidak putus asa dan sentiasa memikirkan masa depan mereka.
Bagi calon yang tidak berjaya mendapat pencapaian yang baik, mereka harus terus bersemangat untuk mencari ilmu dan meningkatkan potensi diri agar memperoleh peluang pekerjaan di masa akan datang.
Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Tahun Satu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Univerisiti Sains Islam Malaysia (USIM), Irdina Mohd Yusoff
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my