Fook Sin (dua dari kanan) berjaya mengaplikasikan kaedah berasaskan data dan pemindahan teknologi projek penanaman ubi keledek secara tradisional iaitu di atas batas dan dalam beg poli.
Fook Sin (dua dari kanan) berjaya mengaplikasikan kaedah berasaskan data dan pemindahan teknologi projek penanaman ubi keledek secara tradisional iaitu di atas batas dan dalam beg poli.

Saran penyelidik universiti libatkan diri dalam pertanian

26 Oct 2024 09:49pm

Era Pertanian 4.0 bersama dengan pemindahan teknologi dan sains data, telah berjaya mentransformasikan beberapa sektor pertanian di Malaysia.

Namun, ramai petani berskala kecil masih mengamalkan kaedah pengusahaan tradisional.

Oleh itu, bantuan pemindahan ilmu dan bimbingan kepada golongan tersebut perlu dipergiatkan supaya mereka dapat bersaing mengikut perubahan arus masa dan menjadi lebih mampan dalam sektor pertanian.

Petani berpengalaman dari Melaka, Bong Fook Sin bersama pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Madya Ts Dr Fam Soo Fen telah mengambil inisiatif ke arah ini.

Mereka menggunakan kaedah berasaskan data dan pemindahan teknologi untuk memajukan sektor pertanian dengan memberi fokus khusus pada penanaman ubi keledek.

Fook Sin yang merupakan Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Sayuran Negeri Sembilan/Melaka dan berpengalaman serta memiliki pengetahuan luas dalam bidang pertanian, telah bekerjasama dengan pakar statistik dan pengurusan kualiti, Profesor Madya Ts Dr Fam Soo Fen mengaplikasikan kaedah berasaskan data dan pemindahan teknologi projek penanaman ubi keledek secara tradisional iaitu di atas batas dan juga dalam beg poli untuk mengukur kualiti serta produktiviti hasil tanaman.

Juga, perbandingan antara tanaman ubi keledek yang ditanam dalam tanah dan pasir di dalam beg poli turut dijalankan.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Penemuan dan kajian

Kajian mereka tertumpu kepada kaedah penanaman iaitu membandingkan kesan tanah dan pasir dalam beg poli terhadap produktiviti dan kualiti hasil ubi keledek.

Hasil kajian menunjukkan medium berasaskan pasir menghasilkan keledek berkualiti lebih tinggi dengan kulit licin dan tekstur lagi baik secara keseluruhan.

Kulit lebih licin menunjukkan kualiti lagi tinggi iaitu boleh mendapat harga pasaran sangat baik.

Sebaliknya, medium berasaskan tanah menunjukkan produktiviti yang lebih tinggi sekali gus menunjukkan kedua-dua kaedah menawarkan manfaat unik hasil kualiti lebih baik daripada pasir dan hasil kuantiti tinggi daripada tanah.

Kajian ini mendapati bahawa kaedah penanaman menggunakan beg poli mengatasi pendekatan tradisional di atas batas.

Sistem beg poli menunjukkan kawalan lebih baik terhadap persekitaran tumbuhan, dapat membawa kepada hasil konsisten.

Kaedah ini juga memberikan penyelesaian praktikal bagi petani dengan ruang tanah terhad, kerana dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan menawarkan alternatif cekap kepada amalan pertanian konvensional.

Dalam pada itu, Bong berharap agar lebih ramai penyelidik universiti akan melibatkan diri dalam bidang pertanian dan memanfaatkan kepakaran mereka untuk membantu sektor ini berkembang.

Beliau percaya, dengan sokongan pakar seperti Soo Fen dan pasukannya, pertanian Malaysia menjadi semakin maju untuk mempromosikan kelestarian dan daya saing.

Pemodenan ini juga dapat menarik minat generasi muda menceburi sektor pertanian.

No Image Caption

Sumbangan pakar

Soo Fen teruja dapat menyumbangkan kepakaran beliau dalam pembangunan sektor pertanian bersama empat penuntut UTeM yang berdedikasi iaitu Fan Yan Teng, Lee Kuan Kheng dan Ng Kai Sean dari FPTT serta Tan Chor Yuin dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Kajian ini memberi sumbangan yang signifikan kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 1: Tiada Kemiskinan; SDG 2: Tiada Kelaparan; SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan; SDG 4: Pendidikan Berkualiti; SDG 8: Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi; SDG 9: Industri, Inovasi, dan Infrastruktur; SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan; SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan; dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.

Beliau juga memaklumkan, kos dan risiko kaedah penanaman ubi keledek dalam beg poli adalah rendah dan penjagaannya mudah.

Setiap pokok ubi keledek memerlukan beg poli berbentuk silinder dengan keluasan bulatan 3.15 kaki persegi, bersamaan dengan diameter dua kaki atau jejari satu kaki serta ketinggian tanah dalam beg poli setinggi satu kaki.

Tempoh penuaian ubi keledek juga pendek, dengan tempoh kematangan antara 12 hingga 17 minggu, bergantung kepada spesies atau jenis ubi keledek yang ditanam.

No Image Caption

Walau bagaimanapun, tumbuhan ini perlu didedahkan kepada cahaya matahari yang optimum dan terbuka.

Penggunaan ruangan kecil dalam penanaman ubi keledek secara beg poli menjadikannya sesuai ditanam di rumah sebagai hobi dan hasilnya boleh digunakan sebagai makanan keluarga atau sumber pendapatan isi rumah.

Kaedah ini juga boleh diaplikasikan dalam program pertanian bandar.

Dengan itu, program sedemikian dapat membantu meningkatkan status sosio-ekonomi kumpulan B40, sambil menyediakan peluang pertumbuhan dan kelestarian sektor pertanian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp