Pelajar SK Guar Jentik mempelajari proses penilaian kualiti air, sedikit ilmu berguna yang boleh dimanfaatkan di dalam dan di luar persekitaran sekolah.
Pelajar SK Guar Jentik mempelajari proses penilaian kualiti air, sedikit ilmu berguna yang boleh dimanfaatkan di dalam dan di luar persekitaran sekolah.

Semai minat STEM melalui kesedaran sumber air

01 Aug 2024 11:46am

Usaha mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) masih lagi berterusan, disambut baik oleh pelbagai institut pengajian tinggi dari seluruh negara demi melahirkan generasi holistik serta berwawasan.

Salah satu ikhtiar untuk mencapai objektif itu ialah program kesedaran kepentingan sumber air dianjurkan oleh Centre of Excellence Water Research and Environmental Sustainability Growth (WAREG) dan Fakulti Kejuruteraan Awam & Teknologi (FKTA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.

Dengan kerjasama Center For Environmental Health of Pesantren (CEHP) di bawah Lembaga Penelitian dan Pengabdian Masyarakat (LPPM) Universitas Nahdlatul Ulama Surabaya (UNUSA), Indonesia, program itu dijangka memberikan manfaat besar kepada pelajar dengan pelbagai aktiviti yang menarik serta informatif.

Program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Jentik itu merangkumi pelbagai aktiviti seperti eksperimen makmal, ceramah pendidikan, dan aktiviti luar berkaitan dengan pemantauan serta penilaian kualiti air.

Dalam salah satu sesi yang diadakan, pelajar-pelajar SK Guar Jentik diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan fasilitator WAREG dan CEHP, berbincang tentang kaedah saintifik dalam menilai kualiti air melalui eksperimen praktikal.

Sesi tersebut memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk merasai pengalaman sebagai saintis cilik dengan memakai kot makmal putih dan diajar kaedah eksperimen praktikal melalui penerangan daripada fasilitator WAREG.

Guru besar SK Guar Jentik, Safuandi Sabri yang berasa amat berbesar hati, menyatakan bahawa program sebegini dapat membina minat pelajar dan memberi semangat kepada pelajar luar bandar untuk berdaya saing.

Ketua Program UNUSA-UniMAP ICS, Profesor Madya Dr Farrah Aini Dahalan, telah mengambil peranan utama dengan membawa konsep eksperimen makmal ke sekolah bagi membolehkan pelajar merasai suasana di makmal ketika menjalankan eksperimen.

Ketua WAREG, Profesor Madya Ts Dr Abdul Haqi Ibrahim, menyatakan program sebegini sering dijalankan oleh WAREG di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

“Pihak WAREG amat terbuka untuk menerima kolaborasi daripada pelbagai agensi terutamanya pihak industri sekiranya ada pihak yang berminat melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama-sama bagi membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat,” tambah beliau.

Ketua CEHP dan LPPM, Dr Achmad Syafiuddin, memuji komitmen diberikan oleh pihak sekolah serta teruja dengan reaksi daripada pelajar yang nampaknya mempunyai minat terhadap sains.

Beliau menyatakan, "Minat mereka terhadap sains jelas kelihatan dan kami berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha untuk mencungkil potensi mereka."

Profesor Madya Ts Dr Che Zulzikrami Azner Abidin, Dekan FKTA yang juga merupakan penyelidik WAREG turut hadir memberikan sokongan kerana ia merupakan program kolaborasi antara WAREG dan FKTA.

“Diharapkan program ini akan menjadi model contoh bagi kolaborasi antarabangsa lain dalam usaha memupuk minat terhadap pendidikan STEM dan kesedaran alam sekitar,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp