Semarak budaya dan kesenian warisan dalam kalangan penuntut politeknik

29 Sep 2023 09:22am



Festival Kebudayaan dan Warisan Ke–11 (11th FESKEW) di Politeknik Kota Bharu (PKB), Kelantan berjaya mengumpulkan 230 orang mahasiswa daripada 20 politeknik seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Festival yang bermula 24 sehingga 26 September 2023 itu penuh dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian iaitu Pertandingan Tarian Rampaian Tradisional Melayu, Pertandingan Da’-ian dan Program Jejak Warisan.

Dengan tema pada tahun ini, ‘Seni Dan Budaya Menelusuri Improvisasi Gerak Dan Irama’, festival berkenaan diadakan dengan objektif untuk melahirkan penuntut politeknik dan kolej komuniti berbakat dalam seni tari secara meluas dan terperinci sekali gus melahirkan mereka yang kreatif serta mencintai budaya secara progresif.

Pada masa sama, program sebegini juga diadakan bagi memperkasakan mahasiswa dengan nilai pendidikan yang diterapkan dalam membuat penyelidikan mahupun kebudayaan dan warisan itu sendiri.

Penuntut Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Mohammad Noorsyauqi yang merupakan johan bagi Pertandingan Tarian Rampaian Tradisional Melayu melahirkan rasa syukur dinobatkan sebagai juara kerana mereka hanya berlatih selama dua minggu sahaja.

Namun, disebabkan kepakaran dan latihan daripada Pegawai Kebudayaan PMM, Abdul Rashid Husain serta komitmen pasukan yang sangat tinggi, ia memberikan hasil tidak terduga.

Sementara itu, Pengarah PKB, Mohd Fikri Ismail semasa ucapan perasmian penutup di Dewan Jubli Perak berkata, peranan seni telah diterima sebagai antara elemen pembangunan negara yang berkemampuan menjana kehidupan lebih berkualiti.

“Contohnya tarian walaupun ramai yang menganggap ia hanya pergerakan mengikut irama lagu, namun di sebalik persembahan itu ia membentuk sahsiah diri penari atau penggiatnya seperti disiplin menepati masa dan juga mematuhi setiap peraturan.

Artikel Berkaitan:


“Seni tradisi yang dihiasi dengan ciri-ciri kreatif dan malar segar akan mampu menjadikan nilai tradisi tersebut seakan istimewa, segar dan popular hingga menambat hati golongan muda mudi.

“Dengan cara ini juga, kelestarian warisan seni budaya tempatan lebih mudah diperturunkan dari generasi ke generasi seterusnya, bahkan wajar untuk terus diendahkan,” kata beliau.

Hadir sama semasa majlis berkenaan Timbalan Pengarah, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Yaswadi Mat Yasim dan Timbalan Pengarah Akademik, Mohd Zaidi Che Mod.

Turut serta Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Che Anuzi Yusoff; Pengarah – Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan dan Terengganu serta Pegawai – pegawai kanan Politeknik Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp