R Ramanan (empat dari kiri) bersama para penerima surat tawaran UKKM ijazah sarjana (Master) pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ikma 2024 di Institut Koperasi Malaysia, Petaling Jaya pada Khamis.
R Ramanan (empat dari kiri) bersama para penerima surat tawaran UKKM ijazah sarjana (Master) pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ikma 2024 di Institut Koperasi Malaysia, Petaling Jaya pada Khamis.

Sembilan individu terpilih lanjut pengajian peringkat PhD di UKKM

19 Apr 2024 09:00am
A
A
A

Sejumlah sembilan pelajar Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima surat tawaran menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan yang pertama kali diperkenalkan universiti berkenaan.

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, program PhD yang merupakan projek perintis kendalian Institut Koperasi Malaysia (Ikma) itu bakal melahirkan graduan yang mampu membangunkan industri koperasi di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

"Koperasi ini bukan satu kegiatan atau organisasi kecil. Seperti kita tahu di Malaysia sahaja ada lebih 15,000 koperasi dengan melebihi 7 juta ahli.

"Jadi koperasi ini penting buat Malaysia terutamanya yang bekerja dan menjalankan perniagaan sendiri. Justeru graduan PhD yang bakal dilahirkan diharap mampu menyumbang kepada kemajuan koperasi di Malaysia," katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ikma di Petaling Jaya pada Khamis.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua pengarah Ikma, Datuk Mohd Ali Mansor dan Naib Canselor UKKM, Profesor Datuk Dr Azali Mohamed.

Sementara itu, Azali berkata, program PhD yang ditawarkan menggabungkan pembelajaran akademik dan praktikal untuk memastikan lebih ramai graduan berkualiti dapat dilahirkan.

"Saya yakin dan percaya sektor koperasi di Malaysia memerlukan penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam bidang koperasi bagi memajukan sektor koperasi di Malaysia," katanya.

Kesemua individu terpilih itu merupakan pelajar kumpulan pertama sejak universiti tersebut mula beroperasi pada Mac 2023.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, surat tawaran turut diberikan kepada 17 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana dan sumbangan duit raya kepada anak yatim yang dijemput memeriahkan rumah terbuka itu. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok