Membangun kesejahteraan melalui program keusahawanan
Dalam era globalisasi yang terus berkembang, pembangunan dan perkembangan komuniti terhadap kesejahteraan sosial menjadi semakin kompleks.
Oleh itu, banyak negara mulai mengadaptasi pendekatan inovasi termasuk program keusahawanan untuk melonjakkan industri kesejahteraan.
Usahawan moden dalam penjagaan kesihatan dan kesejahteraan memainkan peranan penting dalam meningkatkan inovasi dalam bidang ini.
Mereka telah merevolusikan cara doktor merawat pesakit, membentuk peranti perubatan yang kelihatan ajaib dan mengubah cara penjagaan kesihatan yang disampaikan kepada pesakit dan komuniti setempat.
Tambahan pula, terdapat pelbagai perkhidmatan berkaitan kesihatan dan kesejahteraan yang mula menjadi tumpuan komuniti kini.
Antaranya, pertambahan fasiliti kesihatan turut ditawarkan daripada usia kanak-kanak sehinggalah warga emas seperti rumah penjagaan orang tua dan juga rumah penjagaan kanak-kanak istimewa.
Memandangkan industri penjagaan kesihatan di seluruh dunia semakin mendapat tempat di hati masyarakat, Malaysia sebagai sebuah negara membangun perlu seiring dengan keperluan semasa.
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tidak terkecuali menawarkan program ijazah dalam bidang Keusahawanan Kesejahteraan dan merupakan institusi awam pertama menawarkan bidang ini kepada pelajar.
Selaras dengan visi universiti, program ini dibentuk untuk mengungguli bidang keusahawanan dalam melahirkan usahawan profesional khususnya dalam industri kesejahteraan di Malaysia.
Inisiatif ini dibentuk bertujuan untuk membantu pelajar yang berminat menjadi usahawan dan pelajar ini akan diberi pendedahan serta latihan yang berterusan khususnya dalam bidang kesejahteraan.
UMK memainkan peranan penting dalam melaksanakan usaha berterusan ke arah inisiatif memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu dalam bidang Keusahawanan Kesejahteraan.
Program Keusahawanan Kesejahteraan
Program ini memberi tumpuan kepada objektif untuk melahirkan graduan dengan pemahaman yang luas dalam bidang kesejahteraan.
Di samping itu juga, program ini digarap untuk mengenal pasti, meneroka dan merebut peluang serta ruang perniagaan dalam industri ini di peringkat global.
Program ini dipercayai dapat melahirkan graduan kreatif yang mampu bekerja atau sebagai usahawan yang menyediakan peluang pekerjaan secara profesional, beretika dan bertindak secara harmoni dalam apa jua bentuk persekitaran.
Pelajar berani mencipta peluang yang diberikan sebaik mungkin dengan bimbingan yang berterusan daripada tenaga pengajar di UMK.
Pelajar turut didedahkan dengan industri penjagaan kesejahteraan yang semakin berkembang seperti spa, gimnasium, rawatan kecantikan dan penjagaan makanan di samping menekankan aspek pengamalan gaya hidup sihat.
Program ini mampu melahirkan para graduan usahawan kesejahteraan yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam disiplin keusahawanan dan selaras dengan keperluan industri semasa.
Di samping itu juga, graduan mampu berkomunikasi dengan berkesan dalam memimpin organisasi serta mampu untuk membentuk seorang usahawan yang cekap dari segi teknikal dan kemahiran yang berkaitan.
Budaya keusahawanan dalam kalangan graduan dapat dipupuk dengan sebaiknya dan hasilnya UMK telah dan bakal melahirkan graduan yang berdaya tahan, bersedia untuk menggarap peluang, kreatif, inovatif, beretika dan berfikiran terbuka dalam mana-mana persekitaran perniagaan, sama ada di arena tempatan atau di peringkat global.
Matlamat utama UMK adalah melahirkan lebih ramai lagi usahawan berjaya, khususnya di kalangan alumni.
UMK bukan sahaja menyokong tindakan pelajar yang memilih untuk menjadi usahawan sewaktu bergelar pelajar dan alumni, malah turut menawarkan insentif serta bantuan.
Pelajar yang mengikuti bidang ini dilatih dan dibantu oleh pihak UMK dengan menyediakan fasiliti seperti kiosk serta latihan yang membolehkan pelajar menjalankan perniagaan semasa dalam pengajian mereka.
Mereka dilatih untuk mampu menyelesaikan masalah keusahawanan kesihatan secara inovatif, kreatif dan beretika melalui pendekatan mampan.
Para graduan juga mampu menunjukkan kemahiran keusahawanan dan mengiktiraf keperluan pembelajaran sepanjang hayat untuk kemajuan kerjaya pada masa hadapan.
Program-program yang diadakan bukan sahaja mampu membantu individu membangun keberdayaan ekonomi mereka sendiri tetapi juga secara positif menyumbang kepada keberhasilan masyarakat sekitar secara keseluruhan.
Manfaat program Keusahawanan Kesejahteraan
1) Meningkatkan kemandirian ekonomi
Salah satu manfaat utama dari program keusahawanan kesejahteraan adalah meningkatkan kemandirian ekonomi pelajar.
Dengan memberikan latihan dari segi teoritikal dan kemahiran praktikal yang tepat, pelajar dapat mengembangkan keterampilan dan sumber daya yang diperlukan untuk menjalankan usaha mereka sendiri serta dapat mengurangi ketergantungan pada bantuan sosial.
2) Mencipta peluang pekerjaan
Dengan mendorong pertumbuhan usaha kecil dan sederhana, program keusahawanan kesejahteraan dapat menciptakan lapangan kerja baru dalam komuniti setempat. Ini membantu mengurangi peratus pengangguran dan meningkatkan akses masyarakat terhadap peluang ekonomi.
3) Merangsang Inovasi
Keusahawanan sering kali menjadi sumber inovasi yang penting dalam ekonomi. Melalui program keusahawanan kesejahteraan, pelajar diberikan kesempatan untuk mengeksplorasi idea-idea baru ke arah solusi kreatif berkaitan isu dalam bidang kesejahteraan.
Kesimpulannya, keusahawanan kesejahteraan adalah program yang menyediakan platfom untuk pelajar meneroka perkembangan ekonomi dalam bidang kesejahteraan di mana bidang ini menekankan konsep kebaikan melindungi diri daripada penyakit berbanding merawat penyakit.
Ia diharapkan mampu memerangi kebergantungan ekonomi negara terhadap rawatan kesihatan dengan meningkatkan kesejahteraan individu ke arah bebas penyakit untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat secara keseluruhan.
Dengan komitmen yang jitu dari pemerintah, komuniti masyarakat, dan sektor swasta, program keusahawanan kesejahteraan memiliki potensi besar untuk membentuk masa depan yang lebih cerah bagi komuniti di seluruh dunia untuk menghargai kesejahteraan diri.
Semoga dengan adanya program Keusahawanan Kesejahteraan di UMK ini membolehkan negara melahirkan lebih ramai lagi usahawan dan membantu golongan ini meluaskan jaringan produk serta perniagaan yang dijalankan melalui insentif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan Malaysia.
Maklumat Penulis
1) Ketua Jabatan Kesejahteraan, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, UMK, Dr Nurul Hafizah Mohd Yasin
2) Pensyarah Kanan, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, UMK, Dr Norsyamlina Che Abdul Rahim
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my