Pelbagai bantuan disediakan Mara untuk memastikan golongan pelajar daripada keluarga miskin mendapat pembelaan. Gambar tengah: Asyraf Wajdi. Kredit foto: Facebook MRSM Mersing.
Pelbagai bantuan disediakan Mara untuk memastikan golongan pelajar daripada keluarga miskin mendapat pembelaan. Gambar tengah: Asyraf Wajdi. Kredit foto: Facebook MRSM Mersing.

Jangan tolak tawaran MRSM walau tiada duit

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Jan 2024 02:05pm

Keputusan tawaran kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat Tahun 2024 sudah pun diketahui.

Kepada mereka yang berjaya, Sinar Bestari mengucapkan sekalung tahniah di atas rezeki para pelajar.

Bagi yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke MRSM, jangan mengalah dan putus asa. Insya-ALLAH, ALLAH akan ganti rezeki yang lebih baik nanti.

Berbicara tentang MRSM, Sinar Bestari tertarik perkongsian Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook, Sabtu lalu.

Tulisnya, ibu bapa disaran tidak menolak tawaran jika anak-anak layak ke MRSM.

“Saya minta dan merayu kepada ibu bapa atau penjaga dari kalangan mereka yang susah dan berpendapatan rendah.

“Janganlah sesekali menolak tawaran kemasukan ke MRSM kerana faktor kos ataupun kekangan kewangan,” catat Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu.

Asyraf Wajdi memaklumkan lagi dalam catatan tersebut, Mara mempunyai pelbagai bantuan untuk memastikan para pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan baik di MRSM.

Artikel Berkaitan:

Selanjutnya, Sinar Bestari kongsikan hantaran penuh Asyraf Wajdi mengenai kekangan kewangan dihadapi ibu bapa dan penjaga hari ini.

*****

Jangan jadikan alasan tak mampu bayar yuran tolak tawaran MRSM

“Dr, saya memang nak sangat anak belajar di MRSM, tapi kami tak mampu hantar dia jauh ke MRSM Mersing kerana kos tinggi, nak bayar yuran, baju sekolah dan lain-lain. Kami kerja kampung je, anak lima orang. Kami fikir nak tolak tawaran.

Ini mesej yang saya terima pagi tadi. Malah ada banyak juga mesej serupa yang bertanya dan minta pandangan untuk tolak tawaran sebab faktor kewangan.

Saya minta dan merayu kepada ibu bapa atau penjaga dari kalangan mereka yang susah dan berpendapatan rendah.

Janganlah sesekali menolak tawaran kemasukan ke MRSM kerana faktor kos ataupun kekangan kewangan.

Mara sedia bantu melalui pelbagai bantuan untuk memastikan golongan pelajar daripada keluarga miskin mendapat pembelaan.

Antaranya termasuklah

1) Program Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) iaitu bantu mereka yang miskin untuk bayar yuran, pembelian pakaian dan peralatan sekolah serta harian.

2) Pengecualian bayaran wang caruman kepada pelajar miskin.

3) Bantuan wang saku RM50 sebulan bagi pelajar layak.

4) Pelepasan yuran peperiksaan International General Certificate Of Secondary Education (IGCSE) untuk pelajar B40 yang mendaftar di MRSM IGCSE.

Malah jika ada yang sukar untuk menghantar anak yang duduk jauh dan faktor kos, boleh maklumkan kepada pihak Mara dan MRSM.

Insya-ALLAH saya sudah minta agar Bahagian Pendidikan Menengah MARA bahkan Yayasan Pendidikan Mara untuk pantau dan bantu.

Pokoknya jangan sesekali jadikan alasan kekangan kewangan atau tak mampu bayar yuran untuk menolak tawaran MRSM.

MRSM adalah sekolah yang Mara dirikan atas semangat dan gesaan UMNO untuk memastikan orang Melayu daripada golongan berpendapatan rendah terbela.

Ingat lagi kata-kata keramat Tun Razak dalam Perhimpunan Agong UMNO 1964 yang mencetuskan idea penubuhan Mara dan melaksankan Kongres Ekonomi Bumiputera 1965

“Tiada jalan pintas untuk bantu dan merubah nasib orang Melayu dan Bumiputera melainkan dengan ilmu pengetahuan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp