Siswa Australia timba ilmu hutan tropika dengan UPM

29 Sep 2023 05:06pm



Seramai 10 orang mahasiswa mobiliti Queensland University of Technology (QUT), Brisbane, Queensland, Australia menimba ilmu baharu dalam bidang hutan tropika serta biodiversiti menerusi penanaman 100 pokok di Ladang Puchong Universiti Putra Malaysia (UPM) di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Pengarah Pusat Pertanian Putra (PPP) UPM, Dr Siti Zaharah Sakimin berkata, menerusi program tersebut, ia dapat mendedahkan sistem ekosistem Malaysia yang unik kepada penuntut dari negara berkenaan selain membolehkan mereka untuk saling mendapatkan pengalaman baharu.

“Program ini secara tidak langsung telah menjadikan kampus sebagai pusat lawatan antarabangsa dan pelaksanaan program yang melibatkan penukaran idea serta budaya antara dua universiti berlainan negara.

“Di samping itu, siswa UPM juga dapat memperkukuh kemahiran insaniah dalam Bahasa Inggeris dan mengasah kemahiran mengadaptasikan diri dengan cabaran serta persekitaran yang baharu.

Artikel Berkaitan:


“Melalui aktiviti penanaman 100 pokok buah-buahan ini bukan sahaja dapat mengajar penuntut tentang kaedah yang betul untuk menanam pokok malah salah satu inisiatif menyokong hasrat Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang telah dilancarkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam usaha menghijaukan Malaysia,” katanya.

Beliau juga berharap program ini mampu membuka mata mahasiswa untuk mengaplikasikan budaya kelestarian alam sekitar dalam kehidupan di universiti.

Selain aktiviti penanaman pokok, para peserta Program Mobiliti ‘Greening Malaysia: Research and Education Program’ itu juga menjalankan aktiviti sulaman pokok buah Mangga Chokanan dan Mesta.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp