Subjek UUM cipta sejarah! Julung kalinya tersenarai dalam QSWUR by Subject 2023
Subjek Komunikasi dan Pengajian Media (Communication and Media Studies), Universiti Utara Malaysia (UUM) buat julung kalinya berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings (QSWUR) by Subjects 2023.
Dalam pengumuman pada 22 Mac lalu, subjek di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) itu tersenarai pada kedudukan 201-250 sekali gus meletakkan universiti tersebut sebaris dengan universiti terbaik di dunia seperti Universitas Indonesia dan University of Canterbury yang memperoleh penilaian atau rating lima dalam QS Stars.
Menurut Naib Canselornya, Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan, beliau amat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan pusat pengajian tersebut meskipun baru pertama kali tersenarai.
Katanya, pencapaian ini membuktikan program pengajian yang ditawarkan oleh SMMTC itu adalah berkualiti dan sangat relevan dengan keperluan dan keadaan semasa.
“Syabas saya ucapkan kepada seluruh warga SMMTC khususnya yang telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya menyaingi universiti terbaik dari seluruh dunia untuk berada di tahap ini,” ujarnya.
Sementara itu, Dekan SMMTC, Profesor Madya Dr Norsiah Abdul Hamid berkata, pencapaian bersejarah tersenarai dalam QSWUR by Subject tersebut adalah hasil kerja keras seluruh warga universiti khususnya di SMMTC dalam usaha memartabatkan nama UUM di peringkat global.
“Bukan mudah untuk menandingi universiti-universiti hebat di dunia tetapi kita telah membuktikan bahawa UUM mampu melakukannya dengan hasil dedikasi, komitmen dan kesungguhan.
“Malah, antara faktor utama yang membantu dalam penyenaraian ini juga adalah hasil konsistensi dalam bidang penerbitan.
“Saya turut berharap kejayaan ini tidak akan terhenti di sini, sebaliknya akan terus bersama-sama untuk memacu kecemerlangan UUM dan SMMTC di pentas antarabangsa,” tuturnya lagi.
Dalam pada itu, edisi 2023 QS World University Rankings bagi subjek Komunikasi dan Pengajian Media mengguna pakai empat indikator yang terdiri daripada reputasi akademik (50 peratus), reputasi majikan (10 peratus), sitasi per penerbitan (20 peratus) dan H-Index (20 peratus).
Penarafan berkenaan juga meletakkan UUM antara 1,270 universiti terbaik dunia yang dinilai bagi subjek tersebut seterusnya disenaraikan dalam kalangan 250 universiti yang terpilih.
Antara subjek lain yang tersenarai dalam QSWUR by Subject 2023 termasuklah Accounting and Finance (151-200); Economics and Econometrics (201-250); Business and Management Studies (201-250) dan Computer Science and Information System (601-650).
Manakala bidang Social Sciences and Management pula di kedudukan 266.