Sukarelawan UniMAP, UUM kerjasama salur kepakaran bantu mangsa banjir
Lebih 200 sukarelawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) turun padang membersihkan rumah dan pusat komuniti di Taman Tabung Haji, Alor Setar, Kedah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.
Hampir 90 peratus rumah di taman tersebut ditenggelami air dengan anggaran kerugian mencecah jutaan ringgit.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli, universiti berkenaan dan UUM telah menghantar bantuan melalui skuad Sentuhan Kasih Pasca Banjir UniMAP-UUM untuk mengurangkan beban penduduk.
"Selain mencuci rumah, dewan masyarakat, surau dan tadika, UniMAP juga menghantar sukarelawan penyelidik dalam kalangan pelajar dan pensyarah yang berkepakaran dalam bidang elektrik dan elektronik.
"Mereka melakukan pendawaian elektrik dan membaiki barangan seperti penghawa dingin di pusat komuniti yang tenggelam memusnahkan hampir keseluruhan barangan di dalamnya," katanya pada Khamis.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Datuk Aminuddin Omar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi yang juga Ketua Sukarelawan Skuad Sentuhan Kasih Pasca Banjir UUM.
Menurutnya, program ini melibatkan penyertaan aktif sukarelawan dari seluruh UniMAP, yang merangkumi wakil daripada semua fakulti.
"Setiap fakulti memainkan peranan penting dengan menyumbangkan kepakaran unik mereka, memastikan pelaksanaan program ini berjalan lancar dan memberi impak positif kepada masyarakat," ujarnya.
Tambahnya, peruntukan untuk program ini diperoleh sepenuhnya hasil daripada sumbangan ikhlas dan komitmen tinggi staf di setiap fakulti.
Zaliman memberitahu, UniMAP bersedia untuk menyalurkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan oleh masyarakat yang terjejas akibat banjir ini
"Melalui kutipan di UniMAP, kami turut menyumbang katil kepada pesakit terlantar dan barangan asas dapur seperti beras dan gula.
"Kami di UniMAP dan UUM berharap agar sumbangan dan bantuan yang diberikan ini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh warga taman," katanya lagi.