Zambry (dua dari kanan) bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Kementerian Pertahanan dan KPT di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur pada Isnin. Foto: Bernama
Zambry (dua dari kanan) bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Kementerian Pertahanan dan KPT di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur pada Isnin. Foto: Bernama

Banjir: KPT beri ruang universiti laksana pembelajaran dalam talian

02 Dec 2024 05:59pm

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi ruang kepada universiti yang terjejas banjir untuk melaksanakan proses pengajian mengikut kesesuaian termasuk pembelajaran secara dalam talian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan pagi tadi bersama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, selain menyediakan bantuan kepada pelajar terjejas.

"Jika ada kawasan yang terjejas disebabkan ini (banjir), kita sangat fleksibel untuk menyediakan ruang (pembelajaran). Kaedahnya pelbagai.

"Sekarang ni, kawasan yang terlibat (banjir) di Kelantan dan Terengganu...kita bagi fleksibiliti kepada universiti, mereka tahu apa yang perlu laksanakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan KPT pada Isnin.

Mengenai bantuan kepada pelajar terjejas akibat banjir, Zambry berkata, terdapat pasukan sukarelawan Skuad Ihsan Madani akan membantu menyalurkan bantuan terbabit selain pihak universiti juga akan mengenal pasti pelajar yang terlibat dan kebanyakan mereka berada di kampus masing-masing.

Pada 29 November lepas, media melaporkan seramai 3,029 penuntut institusi pengajian tinggi awam terjejas banjir dengan 481 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kampus manakala 42 lagi dipindahkan ke PPS luar.

Zambry berkata, pelajar yang terkesan khususnya di Pantai Timur melibatkan Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan serta politeknik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp