No Image Caption

Tampil kepelbagaian etnik Sabah melalui lensa foto

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
11 Jul 2023 04:33pm
A
A
A

Kepelbagaian budaya dan etnik di Borneo ditampilkan menerusi pertandingan Fotografi Jelajah Budaya Sabah Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) baru-baru ini.

Program tersebut telah disertai 50 mahasiswa dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh Malaysia.

Menurut Pengerusi MAKUM, Profesor Dr Arifin Abdu, signifikan pertandingan itu untuk mempromosikan Negeri Di Bawah Bayu tersebut kepada masyarakat luar.

“Peserta berpeluang menunjukkan kreativiti dalam merakamkan foto kepelbagaian 40 etnik Kadazan, Dusun dan Murut di Penampang.

“Program ini membolehkan pelajar menelusuri akar budaya dan meningkatkan persefahaman dan hormat menghormati kepelbagaian kaum ke arah citra Madani,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:


Menerusi acara berkenaan, para peserta dibawa berkunjung ke tiga buah pulau berhampiran Kota Kinabalu iaitu Pulau Sapi, Pulau Manukan dan Pulau Mamutik untuk merakamkan keindahan panorama Sabah yang menjadi tarikan pelancong.

Pertandingan itu dimenangi oleh mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Natalia Borhan manakala naib juara ialah Deborah Ruran dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) sementara tempat ketiga diduduki Muhammad Amir Nuruddin Abdul Jalil dari Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Pemenang lain ialah Che Wan Abdul Hakim Che Wan Md Syaid dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meraih tempat keempat, tempat kelima Jafni Jaffar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tempat keenam Alesandra Entira Anak Purah dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan tempat ketujuh Ahmad Faiz Asyraf Ahmad Halimi dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok