Muhammad Najib
Muhammad Najib

Tebus kekalahan, Muhammad Najib juara Pantun Semerah Saga 3.0 BESTARI 2023

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
23 May 2023 02:18pm

Percubaan kali kedua Muhammad Najib MD Nazri dalam Pertandingan Mencipta Poster Pantun Semerah Saga 3.0 pada Temasya Pantun Kerabat Bestari (BESTARI) 2023 akhirnya membuahkan hasil apabila dipilih menjadi juara.

Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjaya membaiki pencapaiannya daripada tempat ketiga pada BESTARI 2022 dan melalui nukilan bertajuk ‘Coretan Darul Ta’zim’, Muhammad Najib berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM350.

BESTARI 2023 yang dianjurkan Kolej Kediaman Bestari, Universiti Malaya (UM) merupakan pertandingan kali ketiga yang diadakan dalam kalangan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) bagi mengangkat kesenian berpantun menerusi poster grafik.

Mempertandingkan dua kategori iaitu Sandiwara Pandir (Pertandingan Pantun Pengenalan antara Kolej Kediaman UM) dan Piala Sri Gumum (Pertandingan Pantun antara Mahasiswa IPT), BESTARI 2023 mendapat sambutan menggalakkan daripada warga IPT seluruh negara.

Muhammad Najib yang kini sedang menjalani latihan industri di Akademi DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka memberitahu, bidang kesenian bahasa iaitu pantun yang diceburinya itu sedikit sebanyak mengangkat martabat keindahan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Pantun bukanlah medan untuk mengajar nama malah kalah atau menang merupakan adat bertanding.

“Kekalahan akan memberikan pengajaran dan kemenangan pula adalah rezeki namun yang penting sentiasa bangkit selain teruskan perjuangan sebagai pencinta pantun sejati,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Melalui nukilan bertajuk ‘Coretan Darul Ta’zim’, Muhammad Najib juara Pantun Semerah Saga 3.0 BESTARI 2023.
Melalui nukilan bertajuk ‘Coretan Darul Ta’zim’, Muhammad Najib juara Pantun Semerah Saga 3.0 BESTARI 2023.

Bercerita lebih lanjut mengenai penglibatannya dalam pertandingan tersebut, Muhammad Najib menekankan pembahagian masa antara pelajaran dan juga kokurikulum penting dalam usaha memberikan yang terbaik buat kedua-duanya.

Katanya, bergelar seorang mahasiswa perlu berani dan bijak supaya setiap matlamat yang diimpikan dapat dicapai satu hari nanti.

Tuturnya, walaupun sibuk menjalani latihan industri dan kini berada di tahun akhir pengajian dalam jurusan Kewartawanan, ia bukan halangan untuknya mencuba perkara baharu bagi mencabar kebolehan diri.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan titik peluh ini saya berjaya membuktikan seseorang itu mampu mencapai kejayaan sekiranya tidak mudah putus asa.

“Dengan kejuaraan BESTARI 2023 kali ini, ia adalah satu pengiktirafan yang amat besar memandangkan kejayaan ini dirangkul pada peringkat antarabangsa.

“Dan ini juga membuktikan sekiranya seseorang mahasiswa bijak dalam mengendali dan menguruskan masa, maka kejayaan pasti akan menjadi milik mereka,” ujarnya mengakhiri bicara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp